Halaman

17 December 2012

Lebih 20,000 penduduk dijangka hadir pada program Jamuan Rakyat Bersama TPM

Oleh: Suriati Ali

Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu pada 22 Disember ini.

 `Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ akan turut dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu.

 Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata ketibaan Tan Sri Muhyiddin bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan disambut lebih 1,500 pemuda Umno bermotosikal.

Manakala 1,000 pelajar dari empat sekolah rendah dan menengah berdekatan dan masing-masing 50 kenderaan pacuan empat roda dan motosikal klasik akan turut menyambut ketibaan dua pemimpin itu.

 “Timbalan Perdana Menteri kemudian akan dibawa menziarah penduduk Hassan Tahir yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta merasmikan Rumah Rehat 1Malaysia di kampung sama.

“Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana dan penyampaian cek kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

 Menurut Encik Yusof,  apa yang istimewanya meja bulat dan bangku buluh berukuran 65 meter yang pernah menjadi tempat utama Perdana Menteri menjamu selera pada tahun lalu turut direka cipta penduduk tempatan.

“Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak seminggu lalu itu kini hampir siap dan hanya menunggu masa untuk digunapakai,” katanya.