Halaman

27 December 2012

Maidam berjaya kutip zakat RM98.3 juta

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah berjaya mengutip RM98.3 juta sehingga 26 Disember tahun ini di mana zakat pendapaan merupakan penyumbang tertinggi dengan jumlah kutipan RM 37.4 juta diikuti zakat perniagaan (RM30 juta) dan zakat simpanan (RM18.2 juta).


Yang Dipertua Maidam, Dato’ Bentara Luar Dato’ Omar Pilus berkata, Maidam mensasarkan jumlah kutipan zakat RM100 juta tahun ini.

Katanya, sebanyak RM80.5 juta telah dikeluarkan bagi agihan zakat dan jumlah tertinggi ialah untuk golongan miskin (RM30.4 juta) diikuti fisabilillah (RM24.9 juta).

“Maidam juga telah memperluaskan bantuan khusus kepada golongan faqir dan miskin dengan memberi bantuan pembinaan rumah baru dengan kos RM38,000 setiap unit,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Zakat Bank Islam Malaysia Berhad kepada Maidam di Pejabat Maidam Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh dan Pengurusan Besar Bank Islam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh.

Katanya, sehingga Disember tahun ini sebanyak 30 buah telah berjaya dibina di bawah skim baru ini manakala bantuan baiki rumah masih diteruskan.

Selain itu katanya, Maidam juga telah membelankan hampir RM10 juta khusus untuk bantuan pendidikan sekolah menengah dalam bentuk seragam sekolah, baucer makanan waktu rehat, tambang bas serta yuran asrama membabitkan 24,572 pelajar dari 366 buah sekolah seluruh negeri.

“Seramai 2,121 orang golongan yang sudah tidak produktif juga telah menerima bantuan antara RM250 hingga RM450 sebulan,” katanya.

Pada majlis itu, Bank Islam yang diwakili Dato’ Wan Ismail telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM324,938 kepada Dato’ Bentara Luar yang mewakili Maidam.

Sehubungan itu Bank Islam telah menunaikan zakat perniagaannya setiap tahun sejak beroperasi di negeri ini yang berjumlah RM272,000 (2009), RM385,000 (2010) dan RM390,000 tahun lalu (2011).

Selain itu hasil kerjasama yang terjalin dengan Bank Islam, Maidam berjaya membina 37 unit rumah teres kos rendah dengan kos RM1.4 juta di Banggol Peradong, Manir untuk golongan faqir dan miskin yang telah siap sepenuhnya awal tahun ini.