Halaman

11 December 2012

Majlis berkhatan eratkan perpaduan

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Pusat Aktiviti Kanak-kanak ( PAKK )Kuala Berang dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu ( JKM) sekali lagi mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai yang merupakan salah satu acara tradisi PAKK Kuala Berang.



Program itu yang turut dijayakan Jawatankuasa Penduduk Perumahan Taman Damai berjaya mengumpulkan kanak-kanak sekitar perumahan yang berusia 6 hingga 10 tahun, untuk berkhatan.

Kebanyakan kanak-kanak yang terpilih cukup teruja dan tidak mempamerkan perasaan takut untuk dikhatankan.

Program tersebut turut di hadiri oleh Pegawai JKM Hulu Terengganu,Encik Mohd Fadzli Ismail yang mengharapkan program seperti itu diteruskan setiap tahun dan jika perlu diadakan di setiap kawasan perumahan dalam taman.

“Kita berharap bukan sahaja majlis berkhatan dijadikan agenda aktiviti taman perumahan tapi biarlah meliputi pelbagai program yang berbentuk kemasyarakatan seperti sambutan hari raya, ibadah korban, gotong-royong dan sebagainya.

“Kerjasama yang erat dan jitu adalah nadi penggerak masyarakat sejahtera dan inilah yang melahirkan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah berjaya mengadakan majlis ini walaupun peserta sedikit tetapi tidak pernah melunturkan semangat semua pihak,”katanya ketika bercakap di dalam majlis tersebut.

Majlis yang telah dirasmikan oleh YM Tuan Razilah bin Said Mohd selaku Setiausaha Penyelaras Dun Kuala Berang, turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Taman Kenanga,Encik Abdul Hadi Saad dan semua ahli jawatankuasa serta penduduk sekitar.