Halaman

24 December 2012

MB turun padang lawat mangsa banjir di SK Tanjung Gelam

Oleh: Noraini Jusoh

Walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pagi tadi sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara bertempat di S.K.Tanjung Gelam, Kuala Terengganu.



Dalam lawatan singkat sebelum meneruskan perjalanan untuk melawat mangsa banjir di daerah Setiu, Menteri Besar yang diiringi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh turut bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa banjir yang dipindahkan ke sekolah terbabit sejak petang semalam.



Sebelum itu, beliau turut meninjau bilik darjah sekolah tersebut yang dijadikan tempat berteduh sementara oleh mangsa banjir di mana mereka begitu terharu diatas kesudian Menteri Besar turun padang datang melawat walaupun dalam keadaan hujan lebat.


Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Gelam, Rosli Mohamad berkata, seramai 91 orang daripada 25 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan terbabit bermula kira-kira jam 5 petang semalam.

"Mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah ini melibatkan penduduk dari dua buah taman perumahan iaitu Taman Desa Darul Iman dan Taman Seri Tanjung,” ujarnya ketika ditemui Teganukita di pusat pemindahan banjir tersebut, hari ini.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air disebabkan sistem perparitan yang kurang baik, rumah dibina di kawasan rendah serta fenomena ombak besar yang menyebabkan air pasang berikutan kawasan tersebut berdekatan dengan pantai.



Dalam pada itu, rata-rata mangsa banjir melahirkan rasa bersyukur kerana agensi kerajaan contohnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cepat bertindak dengan menghulurkan bantuan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, biskut serta selimut dan tikar untuk kegunaan mereka ketika berada di pusat pemindahan tersebut.