Halaman

21 December 2012

Nekad anak petani cipta kejayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nekad seorang pelajar mahu mengubah nasib keluarga pada masa depan berhasil apabila mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, kelmarin (19 Disember).



 Anak sulung daripada empat beradik, Anis Syahirah Mohd Shafie, 15, belajar dengan gigih walaupun hidup dalam serba kekurangan sehingga mampu mencipta kejayaan yang turut menggembirakan kedua ibu bapanya, Wan Kalifatra Mat Ali, 41 dan Mohd Shafie Ismail, 41 serta seluruh warga sekolahnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu itu menjadikan kesusahan hidup mereka sekeluarga yang hanya bergantung kepada sumber pencarian bapanya sebagai petani sebagai inspirasi untuk meraih kejayaan itu.

 “Saya mahu mengubah nasib keluarga dan mahu membalas jasa bapa yang sanggup membanting tulang di sawah dan menanam pelbagai sayu-sayuran untuk dijual sebagai mata pencarian untuk menyara dan menyekolahkan kami adik beradik.

 “Selepas ini, sebagai anak sulung dan ikutan kepada adik-adik yang lain saya mahu terus membuat yang terbaik dalam pelajaran dan berjaya menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran bagi mencapai cita-cita bergelar doktor,” katanya.

Anis yang memperolehi 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR menerapkan kaedah belajar dengan mengulangkaji secara konsisten, selain sentiasa solat hajat dan tahajud bagi memohon keberkatan dalam setiap usahanya.


Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Mizan, Haji Ismail Khusri, berbangga dengan prestasi memberangsangkan yang dihasilkan pelajarnya pada PMR kali ini.

 “Seramai 14 pelajar saya berjaya memperolehi semua A, meningkat lima orang berbanding tahun lalu. Ini semua usaha padu guru, pelajar dan juga sokongan tidak berbelah bahagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah yang dipengerusikan YB Ustaz Khazan Che Mat (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit),” katanya.

Katanya, Gred Purata Sekolah sedikit merosot, bagaimanapun dua mata pelajaran mencapai 100 peratus minimum D, iaitu Kemahiran Hidup dan Bahasa Arab.