Halaman

13 December 2012

Pas sentiasa menghalalkan cara

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap pembangkang yang sentiasa menghalalkan cara demi kepentingan politik mereka boleh diumpamakan sebagai `kisah Tok Guru Cicak’, kata YB Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil) ketika membahaskan Bajet 2013, pada persidangan DUN , semalam (12 Disember).

Menurut beliau, pengalaman bertemu dengan suku kaum Batak dan berkongsi cerita mengenai sikap masyarakat berkenaan yang amat menghormati cicak itu menjadi bahan  untuk dikongsi pada perbahasan persidangan DUN kali ini.

“Wahai anak cucuku, jadilah kamu seperti cicak, kerana cicak di mana-mana mereka boleh berada. Di Amerika, di Ajil, Rusila, Bukit Payong juga ada. Malah cicak juga hebat boleh `tepek’ di atap…tidak jatuh.

“Bila turun, turun kepala dahulu, kera naik nyior (pokok kelapa) tidak turun kepala dahulu, betapa hebatnya cicak. Tok guru cicak pesan kepada anak cucu dia sebelum mati, wasiat terakhir dia `wahai cicak sekelian jika kamu nak berak nanti, kamu tengok orang dulu’..tiba-tiba belum habis pesanan tok guru cicak mati.

“Sebab itu hari ini, cicak apabila ada orang dia berak, ada tempat tadah dia berak, sedangkan niat tok guru cicak nak beritahu, ` jika kamu nak berak nanti, kamu tengok orang dulu, kalau ada orang kamu jangan berak’, jadi ayat yang mengatakan `kalau ada orang kamu jangan berak’ itu tidak sempat keluar sebab dia mati terlebih dahulu,” katanya.

Demikian juga katanya, sikap pembangkang apabila hanya menceritakan apa yang menguntungkan mereka dan tidak secara terperinci kerana setiap perkara yang merugikan mereka tidak akan digembar-gemburkan.

Katanya, dalam pelbagai perkara perlu jelas dan tiada niat tersembunyi di sebalik apa yang dilakukan kerana kepentingan peribadi, malah kita juga harus bertanggungjawab dengan apa yang dinyatakan.