Halaman

30 December 2012

Pelabur China bakal melabur lebih RM1.5 bilion di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Beberapa pelabur dari negara China menyatakan kesanggupan mereka untuk melabur dalam pelbagai bidang di Terengganu tahun depan dengan nilai pelaburan melebihi RM1.5 bilion.

Antara bidang yang bakal diceburi pelabur berkenaan ialah industri tekstil, kesihatan, lot-lot perkedaian dan pelancongan, khususnya di Tasik Kenyir.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hasil pertemuannya dengan sekumpulan pelabur dari negara itu kelmarin, mereka bersetuju untuk melabur di negeri ini pada tahun depan dengan jumlah pelaburan yang besar.

“Seorang pelabur menyatakan kesanggupan mereka membuka sebuah hospital swasta di Kijal manakala Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju untuk melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam meraikan pelabur dari China di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi PITC Dai Bing Nam dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pelabur dari negara berkenaan akan membina lot-lot perkedaian di Bandar Baru Kijal bagi menempatkan lebih ramai peniaga tekstil di kawasan itu.

“Mereka juga bercadang untuk membina gudang bagi menyimpan bekalan tekstil di kawasan tersebut bagi menjadikannya hab tekstil yang terbesar di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, seorang usahawan dari China bersetuju membuka hospital swasta yang menempatkan pelbagai peralatan canggih di Strawbery Park, Kijal, dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pelabur dari China juga melahirkan rasa kagum mereka dengan keindahan Tasik Kenyir dan belum dibangunkan sepenuhnya dan bersedia melabur di kawasan itu dengan pelaburan yang besar.

 “Perbincangan lanjut akan diadakan pada tahun depan bagi membolehkan mereka melabur di Tasik Kenyir dengan perancangan yang mereka tetapkan dan dipersetujui kerajaan negeri,” ujar beliau.