Halaman

31 December 2012

Penduduk dinasihat berjaga-jaga banjir pusingan kedua

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan penduduk tempatan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan mudah dilanda banjir supaya berjaga-jaga kerana banjir mungkin melanda semula negeri ini berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.

Beliau berkata, beradasarkan ramalan pihak berkuasa banjir pusingan kedua mungkin berlaku jika taburan hujan berlebihan dan semua pihak perlu berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Saya minta ibu bapa awasi anak-anak mereka kerana berdasarkan pengalaman lalu, termasuk banjir yang baru saja berlaku, penduduk menjadi korban banjir kerana kelalaian kita.

“Mereka yang mati lemas bukan kerana banjir melanda kawasan mereka secara tiba-tiba, tetapi mereka lamas ketika menahan pukat, bermain sampan atau kanak-kanak bermain basikal di kawasan yang dilanda banjir dan terjatuh di tempat dalam,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai agensi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mangsa banjir masih diletakkan dalam keadaan berjaga dan mereka akan bertindak pada bila-bila masa mengikut keadaan.

Sehingga ini, katanya, kerugian dan mangsa sebenar masih belum dipastikan dan siasatan sedang dijalankan bagi membolehka bantuan sewajarnya diberikan kepada mangsa terbabit.