Halaman

03 December 2012

Perhimpunan Agung Umno (PAU) suntik semanagt ahli hadapi Pilihan Raya Umum



Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Agung Umno Ke 66 yang berakhir kelmarin bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya ramai ahli parti sama ada yang berpeluang ke PWTC atau yang berada di luar dewan mempunyai semangat tinggi untuk menunggu bila pilihan raya umum diadakan.

Rata-rata ahli UMNO mempunyai mood yang cukup bersemangat menunggu kerahan tenaga bekerja bagi menghadapi PRU13 selepas Presiden parti melontarkan kata-kata hikmat untuk melonjak semangat ahli.

Kesungguhan 2,759 perwakilan yang berada di dalam dewan mendengar amanat pemimpin sudah tentu akan di bawa balik kepada peringkat bahagian dan cawangan dan diterjemahkan kepada ahli akar umbi mengenai harapan pemimpin tertinggi parti.

Perhimpunan kali ini yang banyak mencetuskan linangan air mata oleh perwakilan apabila ada perwakilan yang membangkitkan isu agama dan masa depan bangsa Melayu sudah tentu meningkatkan lagi usaha ahli UMNO untuk berjuang habis-habisan dalam PRU13 nanti.

Tambahan pula harapan pemimpin melalui lafaz ikrar dan doa yang memohon restu perjuangan UMNO diberkati Allah semua ahli menyedari mereka kini mempunyai tanggungjawab besar untuk menggalas tugas yang diamanahkan.

Pemimpin pula, sepatutnya menginsafi apa yang diperkatakan oleh Presiden menerusi lima soalan cepumas bagi membuktikan kesetiaan pemimpin terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat untuk kemenangan parti pada PRU13 tidak lama lagi.

Pengalaman lampau sudah banyak mengajar pemimpin supaya tidak mengengkari keputusan parti jika ada antara mereka tidak terpilih untuk dicalonkan atau diminta bertukar kawasan, kerana semua yang dilakukan itu untuk kepentingan parti.

Semoga riwayat Terengganu seperti apa yang berlaku pada 1999 tidak lagi berulang sebaliknya terus kekal sebagai negeri yang mampu menumbangkan pembangkag pada pilihan raya yang dianggap gentir pada kali ini.