Halaman

01 December 2012

Persiapan rapi hadapi banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir walaupun belum ada tanda-tanda musim tengkujuh melanda negeri ini.

Pengarah JKNT, Dr. Haji Anwa Sulaiman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di setiap daerah bagi melancarkan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Seramai 324 anggota jabatan telah bersedia laksanakan tugasan masing-masing jika banjir melanda negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, para petugas akan dibahagikan kepada 81 kumpulan iaitu 41 kumpulan pasukan perubatan dan 40 kumpulan pasukan kesihatan dan setiap pasukan akan diwakili oleh empat orang petugas,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan banjir di sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusian Palestin 2012, baru-baru ini.

Katanya, pasukan perubatan akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dari sudut pemantauan kesihatan dan menangani kes-kes kecemasan dengan merujuk kepada hospital sekiranya perlu.

 “Manakala, pasukan kesihatan pula akan memberi perhatian terhadap persekitaran pusat pemindahan dengan memastikan segala bekalan air dan makanan sentiasa bersih dan terkawal agar tidak berlaku masalah kesihatan yang lain seperti keracunan makanan dan sebagainya,” ujarnya.

 Dalam pada itu, Dr. Haji Anwar turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil agar tidak menjadi mangsa banjir.

 “Selain itu, apabila diminta berpindah sementara ke pusat pemindahan yang disediakan, kepada pesakit kronik diingatkan supaya pastikan buku rekod perubatan dan ubat dibawa bersama manakala para ibu yang mengandung pula perlu pastikan keperluan peribadi dan bayi ada bersama mereka,” katanya.