Halaman

06 December 2012

Peserta cadang perluaskan seminar

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata peserta mencadangkan Seminar Maal Hijrah wajar diperluaskan kepada masyarakat pendalaman berikutan mampu menambah pengetahuan sedia ada dengan kupasan bernas daripada penceramah berpengalaman.

Pada seminar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya selaku pembentang utama menjelaskan isu `Serangan Akidah Di Zaman Globalisasi.

Manakala Penceramah Ustaz Dr Zulkifli Muda pula membentangkan tajuk `Wasatiyyah Mengikut Perspektif Akidah’.

 Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, pemimpin masyarakat dan pelajar hadir pada majlis anjuran Yayasan Islam Terengganu serta dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Seorang peserta, Ahmad Syukri Hasan, berkata program yang dianjurkan itu memberi pelbagai manfaat berguna kepada peserta terutama kepada golongan muda yang sememangnya mudah terpengaruh dengan anasir negatif.

“Sewajarnya apa yang disampaikan dalam ceramah ini diperluaskan kepada pelbagai lapisan masyarakat supaya mereka mudah mengerti apa yang disampaikan penceramah berbanding individu tidak bertauliah,” katanya.

 Kakitangan kerajaan, Mohd Azmir Muni, berkata banyak ilmu diperoleh daripada program yang diikuti itu, apa yang tidak tahu dan ragu-ragu, semuanya dijelaskan oleh penceramah.

“Kupasan bernas penceramah bukan saja mampu menjelaskan pelbagai isu rumit malah mampu mencegah masyarakat daripada terjebak dalam penyelewengan akidah,” katanya.