Halaman

17 December 2012

PPNT tawar pakej pelancongan menarik

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik bagi menggamit pelancong datang ke negeri ini, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Langkah itu juga bertujuan memperkenalkan “Payang Walk” yang dimulakan baru-baru ini, sebagai mempromosikan Bandaraya Kuala Terengganu sebagai “Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Antara pakej yang disediakan ialah menyusuri Sungai Terengganu (river crusie), menyusuri Sungai Terengganu sambil menikmati makan tengahari, makan malam atau minum petang dan menaiki beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, khususnya di sekitar Kedai Payang.

Pengerusi PPNT, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak, berkata pihaknya diberi tanggungjawab bagi mengedalikan Program “Payang Walk” yang bertujuan mewujudkan keceriaan, keselesaan dan menghidupkan suasana waktu malam di sekitar bandar ini.

“Pengisian dalam Program “Payang Walk” ini terdiri daripada jualan barangan Terengganu seperti kraftangan, cenderahati, makanan, minuman, pelukis jalanan dan ubat-ubatan tradisional negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, persembahan kebudayaan akan diadakan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula dari jam 6 petang hingga 1 pagi bagi memeriahkan suasana di kawasan “Payang Walk”.

 PPNT mengenakan harga yang berpatutan bagi setiap pakej pelancongan yang disediakan dan pelancong serta pelawat yang berminat boleh menghubungi pihak persatuan bagi mendapatkan keterangan lanjut.

“Mereka yang berminat untuk mendapatkan pakej ‘river cruise’ boleh menghubungi PPNT melalui talian 09-6221891 atau 017-9810070 (Haji Wan Supian) untuk tempahan,” katanya.