Halaman

20 December 2012

Program gemilang siswa di Tesdec

Oleh: Noraini Jusoh


Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini telah mengadakan Program Gemilang Siswa IPTA/IPTS 2012 peringkat Negeri Terengganu bertempat di Kampus Induk Kolej Tesdec, Marang.


Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar berkata, program yang kali ketiga dianjurkan ini berkonsepkan turun padang untuk mendekati golongan sasaran.

"Tujuan utama program ini adalah untuk mendekati dan memberi pemahaman kepada pelajar kolej ini berhubung dengan dasar-dasar kerajaan khasnya Gagasan 1Malaysia.

 "Selain itu, ia juga bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu semasa kepada mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan,” ujarnya di sidang media selepas selesai program tersebut.


 Katanya, program yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir 12 tengahari tersebut dipenuhi dengan aktiviti yang dapat memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar.



"Antara aktiviti yang disertai oleh lebih kurang 200 orang pelajar pada hari ini termasuk senam seni 1Malaysia, sudut patriotik, aktiviti dalam kumpulan serta ceramah 1Malaysia,” ujarnya.

Difahamkan, Program Gemilang Siswa merupakan kesinambungan daripada Program Kembara Kampus yang pernah diperkenalkan Jabatan Penerangan pada tahun 2010 untuk mendekati golongan mahasiwa dan mahasiswi di seluruh negara.