Halaman

09 December 2012

RAKYAT TERENGGANU SERIK DOH DI BAWAH PEMBANGKANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita 

Pemimpin dan parti yang pernah ditolak oleh rakyat Terengganu kerana pelbagai kezaliman, kerakusan, penipuan dan putar-belit kini datang kembali menabur janji kononnya mereka akan menjadi kerajaan yang terbaik.

Sebenarnya rakyat Terengganu sudah alami segala penindasan dan penderitaan di bawah pimpinannya dan partinya, atau disebut sebagai ‘serik doh weh”. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sendiri menyebut perkara ini sewaktu berucap di perhimpunan agung Umno baru-baru ini:

“Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.”

Demikian disebut oleh Dato’ Seri Mohd.Najib, suatu perkara yang amat perlu difahami dengan jelas bahawa kita perlu menolak parti dan pemimpin yang telah terbukti tidak berupaya dan melakukan pelbagai kemungkaran.

Jelas parti dan orang yang memimpin parti itu telah ditolak oleh rakyat kerana rakyat telah menilai kemampuan, kejujuran dan segalanya tentang parti dan pimpinan parti itu.

Puluhan ribu ekar kawasan balak diberi pada kroni, tanah puluhan hektar ladang diberikan kepada wakil rakyat dan isterinya, zakat diberikan kepada anak Exco Kerajaan, kanak-kanak tabika Kemas dihalau dari balai raya, wang bantuan orang miskin dipotong, gaji wakil rakyat dinaikkan, tanah dirampas dibahagi kepada kroni dan berbagai kezaliman dan kepincangan yang masih menghantui rakyat Terengganu. (terlalu banyak untuk disenaraikan penyelewengan mereka).

Hari ini mereka datang lagi menjaja kebaikan, kononnya mereka akan membawa rakyat dan negeri ke arah yang lebih baik. Rakyat dan pengundi Terengganu tidak akan masuk ke lubang biawak buat kali kedua. Rakyat Terengganu sudah selesa dan sejahtera dan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang.