Halaman

31 December 2012

Risda, Ketengah bantu tingkat pendapatan keluarga tani

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Risda dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pelbagai program secara bersepadu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 petani dan pekebun kecil di wilayah Ketengah.


Perjanjian tersebut membolehkan kedua-dua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melaksanakan Program Pembangunan Tanam Semula, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Perladangan dan Pengurusan Kilang Sawit, Pembangunan Pendidikan dan Latihan serta Pembangunan Pengurusan dan Pemasaran Unggas serta Haiwan bagi faedah golongan sasar.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Risda, Dato’ Haji Wan Mohamad Zuki yang mewakili Risda dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud, mewakili Ketengah.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Haji Hasan Malek; Pengurusi Risda, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Dato’ Ibrahim Muhamad.

Menteri Besar pada sidang media selepas majlis itu berkata, MoU berkenaan merupakan pakatan startegik antara dua agensi di bawah kementerian yang sama dan bakal menggabungkan kepakaran keadua-dua agensi itu bagi melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani.

Katanya, selain mempunyai kepakaran dalam pembangunan industri tanaman getah dan kelapa sawit, Risda juga memiliki Koleh Risda yang menjana pengeluaran graduan dalam pelbagai bidang.

“Begitu juga dengan Ketengah yang memiliki Kolej Ketengah dan sudah tentu gabungan tenaga kedua-dua agensi ini bakal meningkatkan mutu pendidikan yang memberi faedah kepada anak-anak petani dan pekebun kecil,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta kakitangan Risda, Ketengah dan semua agensi kerajaan di bawah kementerian berkenaan supaya menjalankan tugas dengan baik bagi merealisasikan hasrat kerajaan membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sudah banyak program dilakukan kerajaan bagi tujuan itu ditambah pula dengan usaha memberikan taraf pendidikan terbaik kepada anak-anak pekebun kecil, petani dan peneroka.

“Kita tidak mahu ada kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan yang bertindak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut’ yang menikam kerajaan dari belakang,” katanya.