Halaman

06 December 2012

Semua pihak diminta tolak LBGT

Oleh: Suriati Ali 

 Semua golongan diminta bersama-sama kerajaan menentang habis-habisan ejen songsang yang mempromosikan budaya dan cara hidup lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT) di negara ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata Islam mengharamkan hubungan sejenis, sehubungan itu mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad.

Katanya, ramai yang mengetahui budaya LGBT boleh menyumbang kepada keruntuhan akhlak yang lebih teruk sekiranya dibenarkan diamalkan di negara ini.

“Ada individu luar negara memohon keizinan mahkamah supaya membenarkannya berkahwin dengan pasangan sejenis, tetapi permohanan itu tidak diluluskan kerana dibimbangi pelbagai gejala negatif berlaku,” katanya.

“Ejen songsang itu pula ingin mengiktiraf walaupun mengetahui umat Islam di negara ini menentang keras budaya jijik, tidak berakhlak dan memalukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Maal Hijrah di Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada seminar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Ilmuan Malaysia, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya selaku pembentang utama menjelaskan isu `Serangan Akidah Di Zaman Globalisasi.

 Manakala Penceramah Ustaz Dr Zulkifli Muda pula membentangkan tajuk `Wasatiyyah Mengikut Perspektif Akidah’.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, pemimpin masyarakat dan pelajar hadir pada majlis anjuran Yayasan Islam Terengganu.

 YB Muhammad Ramli turut memberitahu dia yakin masyarakat yang waras akan menolak LGBT ini kerana jelas Islam mengharamkan hubungan sejenis.

 “Sebaliknya hanya membenarkan perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Kegiatan LBGT bukan sahaja ditentang semua agama malah ia terbukti menghapuskan keseluruhan asas kekeluargaan,” katanya.