Halaman

12 December 2012

Sidang DUN: Kompleks Pakar Materniti siap Mac tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Masalah kesesakan pesakit terutama yang melibatkan kes bersalin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dijangka dapat diselesaikan apabila Kompleks Pakar Materniti siap pada Mac tahun depan.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri akan memastikan masalah yang melibatkan kepentingan dan keselesaan rakyat itu dapat diselesaikan apabila bangunan enam tingkat yang dibina bersebelahan HSNZ siap kelak.

“Pada pandangan saya ia bukan mengaibkan tetapi sekadar keadaan penuh sesak dengan jumlah katil (Wad Bersalin HSNZ) yang terhad dengan `Bed Occupancy Rate’ (BOR) yang tinggi.
“Insya-Allah apabila Kompleks Materniti HSNZ siap pada Mac 2013 dengan tambahan katil di wad sebanyak 210 unit dan katil bersalin sebanyak 24 unit, masalah ini akan dapat diatasi,” katanya ketika sesi penggulungan Persidangan DUN pada hari ketiga, petang ini.

Beliau mengulas demikian sebagai menjawab kenyataan YB Dr Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) semalam, yang menyatakan keadaan wad bersalin HSNZ yang mengaibkan berikutan tidak mempunyai kemudahan dan ruang yang selesa untuk menempatkan ramai pesakit wanita khususnya bagi kes bersalin pada satu-satu masa.

Dr A Rahman berkata, pembinaan kompleks itu juga dapat menyelesaikan masalah parkir di HSNZ apabila sebanyak 385 parkir dibina untuk kemudahan menempatkan kenderaan di bangunan lima tingkat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sudah mewujudkan 220 lot parkir sementara pada November lalu sebelum parkir kekal dibina bagi mengatasi masalah itu.

 Pada masa yang sama, sebanyak RM150 juta menerusi peruntukan khas Kementerian Kewangan Malaysia secara `Private Financing Inisiative (PFI)’ disediakan bagi membangunkan hospital baru daerah Dungun.

 “ Untuk peringkat pertama, sebuah hospital dengan 108 unit katil akan dibina dengan menggunakan peruntukan tersebut.

"Projek ini akan dibina melibatkan dua fasa di mana fasa pertama melibatkan kerja awalan serta kerja berkaitan, manakala fasa kedua membabitkan kerja pembinaan hospital baru serta kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, fasa pertama projek berkenaan dijangka akan ditender pada pertengahan 2013.

Sementara itu, menurut Dr A Rahman isu bilik bedah Hospital Besut (HB) yang kurang digunakan adalah disebabkan HB belum dinaiktaraf sebagai hospital berpakar dan setakat ini, tiada jawatan pakar bedah di hospital berkenaan.

Sehingga kini, HSNZ dan Hospital Kemaman (HK) sahaja bertaraf hospital berpakar di Terengganu. Namun begitu, pasukan doktor pakar bedah dan pakar orthopedik dari HSNZ sudah menjalankan 44 pembedahan di HB dari Januari lalu sehingga kini.

Beliau juga memberi jaminan untuk memastikan penggunaa dewan bedah di HB akan dipertingkatkan lagi oleh pasukan pakar orthopedik HSNZ .

Ketika ditanya YB Dr Syed Azman Syed Nawawi berhubung kelewatan Kompleks Pakar Materniti berkenaan siap, Dr A Rahman menjelaskan pihaknya hanya menerima kompleks berkenaan apabila siap sepenuhnya bagi menjalankan operasi, bagaimanapun punca masalah kelewatan itu perlu dirujuk kepada Exco berkaitan (Infrastruktur).