Halaman

12 December 2012

Sidang DUN: Usul tergempar ditolak, keputusan hak milik kawasan minyak bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat

Oleh: Aida Abd Rahman

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari kedua semalam menetapkan supaya usul tergempar mengenai isu kawasan medan minyak yang baru di Blok PM307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang ditolak serta tidak perlu dibahaskan berikutan kenyataan Perdana Menteri mengenai hak milik sebenar sumber asli itu masih bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat .

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menjelaskan demikian selepas menerima usul tergempar yang dibawa YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) bagi menangguhkan persidangan DUN mengikut peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membolehkan dewan merundingkan isu kawasan minyak yang kini sah menjadi milik Kerajaan Terengganu.

Syed Azman ketika membacakan usul itu, menjelaskan hak dan tuntutan itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Syarikat Lundin oill yang menjalankan kerja carigali di kawasan Bertam di mana syarikat itu memperakui bahawa kawasan medan dinyatakan berkenaan juga sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Dato’ Tengku Putera berkata, selepas meneliti perkara berkenaan, pihaknya mengambil kira tiga faktor bagi menolak usul itu, pertama, kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut masih bukan pendirian rasmi kerajaan pusat atau pun keputusan kabinet.

“Kedua, kenyataan berkenaan bersesuaian dengan tempat dan keadaan. Selain ketiga, ia bukan keputusan rasmi Petronas seperti mana juga yang dimaklumkan YAB Menteri Besar (Dato Seri Haji Ahmad Said) dalam jawapan beliau semalam. Maka terlalu awal kepada kita untuk membuat perbahasan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, jika persidangan berbahas mengenai dua perkara yang dibangkitkan Adun Batu Burok itu kemungkinan akan menimbulkan spekulasi semata-mata tentang hak sebenar berikutan Perdana Menteri juga tidak menafikan atau menolak hak Terengganu terhadap perkara berkenaan secara perundangan ataupun teknikal.

Malah, Dato’ Tengku Putera berkata, bagi pihak rakyat Terengganu sendiri seharusnya berterima kasih dengan apa yang sudah dibangkitkan Menteri Besar, selaku ketua kerajaan kerana beliau bertindak mengingatkan atau mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri Terengganu dalam soal itu.

 “ Jadi kita mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Barisan Nasional. Saya minta Ahli Yang Berhormat sekalian supaya cukup sekadar isu ini diperjelaskan dalam dewan sebagaimana yang sudah saya huraikan sebentar tadi dan tidak perlu kita mengadakan perbahasan bagi usul tergempar ini,” jelas beliau lagi.