Halaman

03 December 2012

Sistem MyKad perpustakaan dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 15,296 orang telah mendaftar sebagai ahli Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu (PADHT) sehingga ini.

Penolong Pustakawan PADHT, Encik Kamarudin Ismail berkata, bilangan ini membuktikan masyarakat hari ini tanpa mengira peringkat umur mempunyai minat membaca yang tinggi.

Katanya, selain mempunyai prasarana lengkap dan selesa dikunjungi, pelbagai buku disediakan bagi memenuhi selera pembaca di samping buku rujukan untuk pelajar.

 “Perkembangan ini menunjukkan matlamat perpustakaan mencapai sasaran sebagai peneraju penyebaran ilmu dan makumat kepada orang ramai.

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai termasuk memperkenalkan Sistem Bersepadu Perpustakaan secara dalam talian.

“Perkhidmatan ini mula dilancar pada Ogos tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai kerana ia mudah ketika membuat urusan meminjam buku,” katanya.

Katanya, setiap ahli akan diberi MyKad bagi memudahkan membuat urusan meminjam serta memulangkan buku di mana-mana perpustakaan.

Selain itu, pelbagai program diadakan bagi menarik minat orang ramai mengamalkan budaya membaca setiap hari serta rajin berkunjung ke perpustakaan untuk mencari bahan bacaan terkini yang disediakan.