Halaman

19 December 2012

Terengganu sedia RM76.37 juta bagi mengindahkan kawasan PBT

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM76.37 juta bagi merancang, mengindahkan dan melaksanakan perkhidmatan perbandaran di seluruh Terengganu, bermula tahun depan.


 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan yang akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan digunakan untuk tujuan semata-mata mahu melihat masayarakat terus merasai kemakmuran dan kemampanan kualiti hidup.

 Katanya, berdasarkan peruntukan itu, sebanyak RM6.2 juta akan dibelanjakan untuk program pencahayaan dan pemasangan lampu awam dalam kawasan PBT; RM 5.7 juta (landskap) dan RM8 juta bagi program kebersihan dan keindahan.

“Manakala RM34 juta bagi membina dan menyelenggara longkang di samping peruntukan untuk projek-projek Majlis-majlis Tempatan, perkhidmatan kebajikan dan masyarakat di bawah penguatkuasaan Majlis Daerah masing-masing.

 “Bagi meningkatkan tahap kebersihan bandar, peruntukan untuk pengurusan kebersihan bandar ditambah daripada RM17.5 juta tahun 2012 kepada RM20 juta tahun 2013,” katanya.

 Katanya, kerajaan sedar peluang perniagaan dan pekerjaan perlu ditingkatkan dan diperbanyakkan. Oleh itu, sejumlah RM18.13 juta disediakan untuk pembinaan dan pengubahsuaian atau naik taraf pasar awam.

 “Sebanyak RM5.95 juta bagi pembinaan gerai perniagaan dan perkedaian di seluruh daerah di samping meneruskan pelaksanaan projek sedia ada.

 “Kerajaan juga menyediakan RM4 juta bagi membaiki pusat-pusat sivik dan dewan-dewan majlis serta menyelenggara bangunan dalam kawasan PBT bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

 Menurutnya, selaras dengan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, kerajaan bersetuju untuk membina bangunan baru kompleks pentadbiran MBKT di Southern Breakwater, Kuala Terengganu. Buat permulaan RM25 juta disediakan untuk perlaksanakan projek itu.