Halaman

12 May 2012

Kes saman fitnah Harakah, ADUN Batu Burok 17 Mei

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Mei ini bagi pengurusan kes saman fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain sebelum ia mula dibicarakan pada Julai ini.

Timbalan Pendaftar, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan lsmail Petra menetapkan tarikh tersebut sewaktu sebutan kes itu di kamar beliau hari ini.

Peguam Abdullah Omar Wahbi Bawadi hadir mewakili kerajaan negeri Terengganu selaku plaintif manakala Syed Azman dan tiga lagi yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam Azhana Mohd. Khairudin.


Pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 23 Julai ini.

Pada 15 Disember tahun lalu, kerajaan negeri itu mendakwa artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?' yang ditulis oleh Syed Azman dan disiarkan di muka surat N5 di dalam akhbar Harakah bertarikh 11 hingga 13 November 2011 adalah salah, fitnah dan berniat jahat.

Selain kerajaan negeri, turut dinamakan sebagai plaintif ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said serta dua peniaga dari Hamie Enterprise, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin.

Pihak plaintif menamakan Syed Azman; pemegang permit akhbar Harakah, Dato’ Mustafa @ Hassan Ali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; dan syarikat penerbitan Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, kerajaan negeri Terengganu menyatakan, telah bersetuju melaksanakan program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bagi seluruh pelajar miskin di negeri itu untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi melaksanakan program tersebut, Menteri Besar telah menerima dua sebut harga daripada Hamie Enterprise dan sebuah lagi syarikat lain.

Plaintif mendakwa, artikel tersebut antara lain menggambarkan pemberian kontrak itu tidak telus, tersalah urus dan secara salah mendapatkan keuntungan yang besar.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, reputasi dan nama baiknya telah terjejas, perniagaannya rugi selain menanggung malu. - FAUZI MOHD



berita penuh

1,000 anggota Rela Besut hadir Himpunan Setia bersama pemimpin



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 1,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) daerah Besut menghadiri program Himpunan Setia Rela bersama pemimpin yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) di Jertih petang semalam.

Perhimpunan itu juga turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Mad Zin, .ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof dan Ketua Pengarah Rela Malaysia,Jeneral Datuk Mustaffa Ibrahim.

Himpunan bertujuan mendekatkan anggota Rela dengan pemimpin kerajaan itu diharap dapat meningkatkan lagi persefahaman anggota berkenaan menjalankan tugas untuk menjaga keamaman dan kesejahteraan rakyat.

Jeneral Mustaffa ketika berucap pada majlis itu berkata, anggota Rela perlu menyokong kerajaan kerana bertanggungjawab untuk memelihara keamanan negara daripada ancaman pihak tertentu yang ingin melihat negara ini musnah.

Ketika  negara menghadapi kumpulan perhimpunan haram Bersih 3.3 di ibu negara bulan lalu,pihaknya menempatkan 2,000 anggota Rela bagi membantu agensi keselamatan lain mengawal orang ramai.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan amat menghargai sumbangan anggota Rela dalam usaha menjaga kepentingan awam di negara ini.

Katanya, mereka yang tidak menghargai tugas Rela adalah orang jahil kerana tanpa pengorbanan anggota terbabit usaha kerajaan untuk menjaga keamanaan akan terguggat.

Beliau kesal ada pihak termasuk profesional dan peniaga tidak menghormati anggota Rela sedangkan fungsi anggota agensi hampir sama dengan pasukan keselamatan lain.

berita penuh

Atlet ikon masyarakat, jaga nama baik negara – Sultan Mizan

Oleh FAUZI MOHD

Para atlet diingatkan agar sentiasa menjaga nama baik negara dalam setiap pertandingan yang disertai terutamanya yang diadakan di luar negara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah ini kerana atlet kini dilihat sebagai ikon yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

"Diharapkan atlet-atlet ini dapat meletakkan nama Malaysia di tempat tertinggi, dan sentiasa ingat untuk menjaga nama baik negara kerana mereka dilihat sebagai ikon yang menjadi perhatian masyarakat," titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 di Taman Tamadun Islam hari ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berangkat mengiringi Sultan Mizan.
UMT merupakan tuan rumah majlis berkenaan.

berita penuh

Giliran Harrif Salleh naik podium

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd. Harrif Salleh akhirnya meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012.

Perlumbaan peringkat keempat Jelajah 1Malaysia dari Kangar ke Sungai Petani itu menyaksikan Mohd. Harrif melakukan henjutan bertenaga mendahului kelompok besar pelumba-pelumba ke garisan penamat.

Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan sejauh 115.6 kilometer dengan catatan masa dua jam, 40 minit dan 56 saat.

"Saya tidak dapat melakukan pecutan dengan baik pada peringkat pertama kerana masih keletihan selepas Jelajah Borneo.


"Hari ini, saya cuba untuk membuat pemecahan tapi tidak berjaya kerana dapat dikejar pelumba-pelumba lain dan sebab itu saya hanya tunggu peluang dalam kelompok besar untuk lakukan henjutan saat akhir," kata pelumba yang berasal dari Kampung Ladang Titian, Terengganu kepada pemberita.

Pada edisi perlumbaan tahun lepas, Mohd. Harrif merangkul jersi hijau selepas dinobatkan selaku "Raja Pecut".

Menurutnya, peluang untuk menyarung semula jersi hijau pada edisi kali ini agak sukar.

"Untuk dapat jersi hijau agak susah sekarang ini. Adiq (Muhamad Adiq Husainie Othman) mendahului dengan jumlah mata yang besar dan saya tidak dapat kejar dia. Bagaimanapun, sekiranya ada pemecahan esok, saya akan cuba untuk menang satu lagi peringkat," kata calon pelumba lebuh raya negara ke Sukan Olimpik London, pada Julai ini.

Peringkat kelima perlumbaan esok akan melibatkan jarak sejauh 194.9km dari Sungai Petani ke Ipoh, Perak yang melibatkan satu zon pendakian kategori empat di Padang Rengas serta tiga zon pecutan di Penang Megamall, Bagan Serai dan Talang. - FAUZI MOHD.

berita penuh

Peruntukan RM5j wujud taman rekreasi sepanjang Manir, Sungai Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan taman rekreasi di sepanjang Sungai Terengganu yang melibatkan kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dengan peruntukan kira-kira RM5 juta, bermula tahun ini.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata perancangan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan negeri menerusi program menyusuri Sungai Terengganu sehingga ke Sungai Berang, Hulu Terengganu di mana lokasi penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.


“Program menyusuri sungai dengan menaiki bot ini akan melibatkan kira-kira 10 kampung dalam DUN Manir yang berada di pinggir Sungai Terengganu sehingga ke Telemong (Hulu Terengganu).

“Kami sedang berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri serta Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu untuk melaksanakan projek itu supaya berjalan dengan lancar dalam tempoh yang dijadualkan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, pada peringkat awal, projek membangunkan kemudahan sekitar sungai itu akan dimulakan dengan kerja menambak sekitar kawasan pasir.

Menurut Encik Yusof, projek membangunkan taman rekreasi di sepanjang sungai ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat sebelum ia selesai keseluruhannya.

Beliau berkata,usaha itu dijangka mampu menjana pendapatan sebahagian penduduk yang terlibat dengan industri desa khususnya pengusaha makanan seperti keropok, bahulu dan akok, manakala kraf tangan seperti tikar mengkuang dan nyiru.

“Kita mengambil peluang dan ruang yang ada untuk memastikan kelebihan alam semula jadi di kawasan sungai dengan pasir dan pemandangan indahnya akan dieksploitasikan dengan baik supaya dapat menjana ekonomi dan memberi faedah kepada masyarakat setempat,” katanya.




berita penuh

HSNZ bakal berubah wajah

Oleh: Suriati Ali

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bakal berubah wajah apabila kerja-kerja menaik taraf melibatkan peruntukan RM129.9 juta dijangka siap Oktober ini.

Projek tersebut turut membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin membabitkan kos RM115 juta selain menaik taraf unit kecemasan dan trauma sedia ada yang melibatkan peruntukan RM14.9 juta.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai satu blok bangunan setinggi enam tingkat itu yang mula dibina pada Disember 2008 dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.


Beliau memberitahu, selain dilengkapi pelbagai peralatan canggih dan tenaga pakar mencukupi, kompleks tersebut bakal menyediakan kemudahan 308 katil berbanding 100 katil di wad bersalin di HSNZ sekarang.

"Kompleks ini dibina di atas padang bola di sebelah bangunan hospital, kita harap kemudahan ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan pesakit di wad bersalin yang ada.

"Di samping kompleks ini, satu lagi blok setinggi lima tingkat yang mampu menempatkan 390 lot kenderaan dengan keutamaan diberi kepada kakitangan hospital juga sedang dalam pembinaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka HSNZ di pekarangan hospital lama, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr. T. Ramelah T. Senik.

Dr. Anwa berkata, sebaik kompleks itu siap, wad-wad bersalin sedia ada yang dikosongkan akan dimanfaatkan untuk kegunaan pelbagai unit perubatan lain.

Katanya, penyediaan lot-lot tempat letak kenderaan di kompleks berkenaan dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan kenderaan di kawasan letak kenderaan sedia ada di pekarangan hospital itu.

"Buat masa ini, kita ada lebih 800 lot tempat letak kenderaan dan itu pun tidak cukup untuk tampung kenderaan milik kakitangan hospital dan pelawat. Jadi, tambahan 390 lagi lot letak kenderaan diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan," katanya.

Mengenai unit kecemasan dan trauma, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf unit tersebut dijangka siap tidak lama lagi selepas mula dilaksanakan pada November 2009.



berita penuh

NGO desak S.Ambiga lucut kerakyatan

Oleh: Suriati Ali


Kira-kira 400 orang wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan hari ini berhimpun bagi mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas Datuk S. Ambiga termasuk melucutkan kerakyatannya.

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Datuk Razali Idris yang mengetuai demonstrasi itu berkata, kerajaan khususnya pihak berkuasa didesak bertindak tegas ke atas Ambiga yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari sehingga mencetuskan keganasan.

Beliau berkata, rakyat tidak sanggup lagi menerima sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman dan keamanan negara khususnya dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara, baru-baru ini.

"Kita mengutuk tindakan Ambiga yang menjadi punca berlaku perpecahan di kalangan rakyat negara ini sekarang ini, dia juga adalah penyokong kuat kepada LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

"Justeru itu, kita mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas ke atas Ambiga termasuk lucutkan kerakyatannya. Kita tak mahu orang seperti ini memusnahkan negara dengan cara merusuh," katanya kepada pemberita di Kampung Beladau Kepong, Manir di sini.

Menurut Razali sebagai susulan, pihaknya merancang mengadakan satu rapat umum besar-besaran tidak lama lagi bagi tujuan yang sama sekiranya Ambiga masih terlepas daripada sebarang tindakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh serta lokasi untuk mengadakan rapat umum yang dijangka disertai pelbagai kaum itu masih belum diputuskan.

"Apa yang kita buat (demonstrasi) hari ini sebagai satu permulaan, selepas ini kita akan adakan satu rapat umum besar-besaran yang akan disertai gerombolan besar orang Melayu selain kaum lain bagi memastikan Ambiga dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.




berita penuh

11 May 2012

Mapem dan Teraju turun padang bantu usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Program Outreach Tranformasi Usahawan Bumiputera Berprestasi Tinggi (OTUBBT) yang digerakkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah dilancarkan di peringkat negeri Terengganu .



Program ini bertujuan mendedahkan usahawan Bumiputera daripada pelbagai sektor dan tahap pencapaian perniagaan dengan agenda transformasi ekonomi yang sedang digerakkan oleh kerajaan pada masa ini.


Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (Mapem), Tan Sri Rozali Ismail berkata, tidak kira sebesar mana idea tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu, tapi jangan terlepas pandang kumpulan usahawan kecil-kecilan atau mikro yang menjadi 90 peratus daripada komuniti usahawan Melayu.

“Walaupun kita mempunyai agenda besar bersama Teraju dan SME Corp untuk mencari calon syarikat kecil dan sederhana milik orang Melayu yang boleh ditransformasikan menjadi syarikat besar namun kita masih tidak mengabaikan keperluan dan harapan usahawan kecil yang memerlukan sokongan, dorongan dan kepimpinan untuk melonjak dalam bidang ekonomi yang diceburi,”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program OTUBBT di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Haji Azmi Razik; Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Terengganu, Dato’ Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar; YDP DPMM Perak, Dato’ Mohd Muhiyuddin Abdullah; YDP DPMM Melaka, Datuk Ramly Mohamad dan YDP DPMM Negeri Sembilan, Dato’ Ahmad Yusof.

Katanya, sehingga ini penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidak berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk Bumiputera dalam negara.

Oleh itu katanya, Teraju dan Mapem serta gabungan persatuan yang mewakili kepentingan peniaga dan usahawan Melayu turun padang untuk mendekati usahawan Melayu yang boleh diketengahkan.

“Banyak usahawan dan syarikat yang berdaftar di bawah Teraju ini yang mendapat bimbingan dan perkembangannya sentiasa dipantau dari semasa kesemasa,” katanya.
Katanya, untuk berjaya syarikat atau usahawan jangan asyik membuat kritikan sebaliknya perlu bekerja lebih tanpa mengira waktu.






berita penuh

Khairul janji aksi konsisten di Olimpik London

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlit memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, 21, tidak mahu meletakkan sasaran pingat pada temasya London Julai ini, namun berjanji untuk menampilkan persembahan konsisten sepanjang persaingan, khususnya dalam acara berpasukan.

Anak jati Kampung Pasir Gajah, Kemaman itu pelengkap trio memanah kebangsaan bergandingan dengan Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin selepas muncul kumpulan atlet pertama layak ke Olimpik secara merit setelah meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali, baru-baru ini.


“Saya tidak mensasarkan pingat, kerana masih baru dalam acara ini. Pada usia baru 21 tahun, saya rasa naik begitu mendadak dan tidak mahu jatuh dengan cepat.

“Untuk acara individu, saya tidak yakin sangat untuk sasar pingat. Bagaimanapun saya berhasrat untuk membuat persembahan dengan konsisten dan dapat mengawal sepenuhnya persaingan memburu mata nanti,” katanya.

Dalam kejohanan Memanah Dunia di Torino, trio yang diketuai pemanah berpengalaman, Chu Sian mengharungi pertarungan penuh dramatik sebelum berjaya menjadi pasukan kesembilan terbaik sekali gus menempah tiket bersama-sama Korea Selatan, Perancis, Mexico, Itali, Ukraine, China dan Amerika Syarikat manakala Great Britain layak automatik selaku tuan rumah.

Kejayaan mereka di luar jangkaan dan amat membanggakan setelah pasukan negara berdepan saingan sengit daripada pasukan handalan dunia.

Selain Khairul Anuar, seorang lagi atlit memanah dari Terengganu, Nur Shafiqah Hashim turut layak ke Olimpik London 2012.

berita penuh

SEMARAK MERAH LARIAN BENDERA UMNO

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sebanyak 66 bekas pulut kuning dengan bunga telur menjadi simbolik pembakar semangat daripada Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang telah diarak Ketua-Ketua Wanita Cawangan UMNO Bahagian Kemaman, kelmarin.



Pasukan Larian Bendera UMNO Bahagian Kemaman mula berlari di sempadan Dungun – Kemaman sekitar jam 11 pagi yang turut disertai dengan 100 penunggang motosikal dan 200 basikal fixie.



Selepas menerima bendera daripada UMNO Bahagian Dungun, mereka kemudian meneruskan larian sejauh 40 kilometer sehingga sampai ke Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di Chukai.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai larian peringkat Daerah Kemaman berkata, dengan semangat berkobar-kobar setiap ahli UMNO seluruh pelusuk negeri, tidak mustahil daerah yang menjadi milik pembangkang termasuk Indera Mahkota dapat dirampas kembali.

“Sehubungan itu, seluruh ahli UMNO perlu berjuang habis-habisan untuk mengalahkan PKR, PAS dan DAP yang menjadi petualang kepada bangsa, agama dan negara kita selama ini.

“Amat dikesali ada pihak pembangkang yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka, malah saya tidak segan silu menyifatkan mereka sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera UMNO kepada wakil Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di sempadan Terengganu – Pahang, Pantai Cendor.

Larian turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar.





berita penuh

Rakyat digesa sertai industry akuakultur

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu menggesa rakyat di negeri itu merebut peluang menceburi bidang industri akuakultur terutama di Tasik Kenyir bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran ikan air tawar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB Asha'ari Idris berkata sehingga ini ternakan ikan air tawar di Sungai Como dalam kawasan Tasik Kenyir, Terengganu melibatkan keluasan 2,800 hektar yang bermula sejak 2006 melibatkan 11 pengusaha.


"Kita pelawa rakyat Terengganu merebut peluang menceburi industri akuakultur terutama di tasik terbesar buatan manusia itu kerana ia masih ada ruang yang luas.

Kalau mereka tidak ambil peluang, kita bimbang pengusaha luar akan memohon untuk membuka industri akuakultur di situ secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Makan Ikan Air Tawar Mega 2012 Negeri Terengganu di Pasar Tani Padang Hiliran di sini , semalam.

Turut hadir Pengarah Perikanan negeri Abdul Khalil Abdul Karim dan Pengarah Fama negeri Hassan Jusoh.

Asha'ari berkata ketika ini terdapat 1,445 penternak ikan air tawar di negeri itu melibatkan 4,371 sangkar serta 808 kolam dengan keluasan kira-kira 90 hektar.

Manakala ternakan ikan air payau pula seperti ikan siakap dan kerapu melibatkan 220 kolam dengan keluasan 50 hektar.

YB Asha'ari berkata ikan air tawar sudah menjadi kegemaran rakyat negeri itu apabila ia menghasilkan jualan RM100,000 sebulan di pasar tani berkenaan.

"Ikan air tawar seperti talapia, patin, baung dan lain-lain sangat digemari rakyat Terengganu. Ini kerana sepanjang Januari hingga April tahun ini pasaran ikan-ikan itu menghasilkan lebih RM400,000.

"Mereka bukan sahaja gemar kepada ikan-ikan berkenaan, tetapi belut pun sudah menjadi rebutan orang ramai. Belut mempunyai rahsia tersendiri kerana mempunyai nilai pemakanan yang tinggi, setanding dengan ikan tenggiri dan
selar," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung kempen makan ikan air tawar berkenaan Aslina Abu Bakar, 21, berkata beliau memang suka ikan air tawar sejak kecil lagi.

"Sejak kecil emak saya selalu hidang masakan ikan air tawar dari bendang dan saya paling suka ikan talapia masak tiga rasa," katanya yang tinggal di Kampung Padang Kemunting, Kuala Terengganu.



berita penuh

Program Jom Pakat Mari Gotong Royong dapat sambutan.

Oleh :Amirullah Othman

Kira-kira 200 orang menyertai Progran Jom Pakat Mari Gotong Royong Perdana di Tanah Perkuburan Islam Mukim Pengadang Buluh/ AtasTol, kelmarin.



Program itu dimulakan kira-kira jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, Haji Rozali Salleh.


Program tersebut dianjurkan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Dewan Bandaraya Kuala Terengganu, Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor dantujuh JKKK berhampiran.

Menurut Setiausa Kerja Jawatankuasa Perkuburan Islam Mukim Pengadang Buluh/AtasTol, Encik Matam Mohamad, program itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan kehadiran adalah di luar dugaan.

“Ini merupakansatu platform kepada semua penduduk berhampiran untuk berjumpa dan bertegur sapa antara mereka kerana masing-masing terlalu sibuk dengan tugas harian, sebelum ini.

Program itu turut dihadiri Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; bekas Adun, Dato’ Dr. Abdul Latif Awang; Pegawai Agama Daerah Marang, Encik Ariffin Jusoh dan pemimpin setempat.



berita penuh

Terengganu yakin mampu kekal juara kali ke empat

Oleh: Suriati Ali

TERENGGANU meletak sasaran¬ untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang Julai ini.

Reputasi terbaik Terengganu setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan pada temasya yang lepas menambah suntikan kepada semua atlet untuk mengekalkan kecemerlangan sama tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat bagaimanapun berkata, rekod itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dipertandingkan, antaranya sukan kenu yang banyak menyumbang emas.

Keadaan itu sekali gus boleh menjejaskan usaha Terengganu mengekalkan muncul pasukan negeri terbaik selepas berbuat demikian ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12, Sukma ke-13 di Melaka dan Sukma ke-14 di Kuala Lumpur.

Pada temasya kali ini kontinjen Terengganu bakal menyertai 24 acara sukan yang menawarkan 1,179 pingat.

Temasya itu mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy serta lima sukan pilihan iaitu tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian



berita penuh

10 May 2012

Klinik Kesihatan akan dibina di pusat peranginan Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan akan membuka sebuah Klinik Kesihatan di pusat peranginan Pulau Perhentian bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di pulau itu selain untuk kemudahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pembinaan klinik berkenaan sedang diberi keutamaan oleh kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan lagi tahap kesihatan penduduk.

Katanya,ketika ini pulau itu hanya mempunyai Klinik Desa yang sudah lama beroperasi manakala jumlah kakitangan pula amat terhad berbanding jumlah sebenar penduduk pulau berkenaan.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, ketika ini dianggarkan antara 30 hingga 40 orang penduduk datang ke klinik terbabit untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu seluas 1,437 hektar tanah telah diluluskan pada Rancagan Malaysia Ke 7 (RMK 7) dan proses pengambilan tanah telah selesai dan sudah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Pusat sudah menjelaskan bayaran RM420,312 kepada penduduk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah terbabit “Saya berharap projek pembinaan klinik berharga RM25 juta itu dapat dilaksanakan segera oleh kerajaan bagi memberi perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan terbaik kepada penduduk pulau itu,” katanya.

berita penuh

Kerajaan Terengganu sumbang 20 komputer kepada Mahkamah Tinggi

Oleh FAUZI MOHD

Mahkamah Tinggi Terengganu menerima 20 unit komputer sumbangan kerajaan negeri untuk ditempatkan di makmal komputer mahkamah berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu bagi membolehkan rakyat yang mempunyai kes di mahkamah membuat semakan dan sebagainya melalui sistem online yang disediakan di makmal berkenaan.

"Dengan kemudahan komputer yang ada di mahkamah, orang ramai yang terlibat dengan perbicaraan bolehlah membuat rujukan dan sebagainya seperti bila kes mereka akan dibicarakan," katanya ketika merasmikan makmal komputer dan majlis makan tengah hari dengan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini.


Turut hadir Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin.

Dato’ Seri Ahmad berkata, pemberian komputer itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membantu semua jabatan kerajaan melaksanakan penggunaan komputer sepenuhnya.


berita penuh

Pengusaha ikan air tawar mampu perluaskan pasaran

Oleh: Suriati Ali

Terengganu turut dicatatkan sebagai negeri paling ramai yang mempunyai bilangan pengemar ikan tawar seperti ikan keli, patin dan baung berbanding negeri lain yang lebih gemarkan makanan laut.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khalil Abdul Karim, (gambar kecil) pihaknya percaya berdasarkan perkembang positif ini, seramai 1,445 perternak dan pengusaha ikan air tawar di Terengganu mampu mempeluaskan pasaran masing-masing sehingga serata negeri dan ke luar negara.

Katanya, pihaknya menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak untuk menceburi bidang ternakan ikan air tawar seperti keli, baung dan patin selepas menyedari ianya mendapat keuntungan.

“Permintaan tiggi terhadap ikan air tawar secara tidak langsung dapat mengurangkan permintaan terhadap sumber ikan laut yang kini dikatakan semakin berkurangan berikutan mengalami eksploitasi yang berlebihan,” katanya..

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini..


Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khalil Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Putrajaya, Encik Nik Wahab Mat Diah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peserta yang hadir pada program anjuran Jabatan Perikan Negeri Terengganu, diberi peluang merasai keenakan beberapa masakan ikan air tawar seperti sup belut, ikan patin masak tempoyak, nuget ikan patin dan sebagainya.

Katanya, program seumpama ini akan diteruskan ke peringkat daerah sebagai langkah mempromosi kepada orang ramai tentang keenakan ikan air tawar.




berita penuh

YPU e-mall.com urusniaga dalam talian

 
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Ads4bucks Network, sebuah portal pengiklanan dan komuniti sosial yang mempunyai 200,000 komuniti di seluruh Asia .

Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, MoU itu mewujudkan usahasama syarikat itu dengan YPU dan membuka peluang usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara talian terus.

“Saya meminta usahawan Bumiputera segera mendaftar dengan kita dan melalui ypu e-mall.com ini produk mereka dapat dilanggan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di majlis Program Outreach Tranformasi Bumiputera Berprestasi Tinggi di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MAPEM); Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu(DPMMT), Dato' Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Ads4buck Network, Encik Ameer Noraizedin Abd. Wahab.

Katanya, perniagaan dalam talian kini menjadi satu keperluan dengan menggunakan website atau facebook untuk disebarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, MoU ini dibuat semata-mata untuk membantu usahawan muda hari ini untuk mempromosikan produk mereka secara lebih meluas dan tidak melalui orang tengah.

Tambahnya, dari segi promosi dan pasaran melalui ypu e-mall ini menjimatkan masa dan tenaga kerana ia dapat dilakukan di rumah atau di mana saja tempat yang sesuai asalkan ada komputer riba.

“Terdapat 200,000 komuniti yang berdaftar dengan Ads4bucks dari seluruh dunia, akan melihat produk –produk usahawan kita yang dipaparkan sekaligus membantu mendapatan pasaran yang lebih meluas,” katanya.

Haji Azmi mengesa semua usahawan di negeri ini agar merebut peluang perniagaan secara maya itu yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia siber hari ini.





berita penuh

Pelumba TSG kuasai perlumbaan buka tirai Jelajah 1Malaysia

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima menguasai perlumbaan pembuka tirai berbasikal Jelajah 1Malaysia 2012 dari Stadium Merdeka Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, semalam.

Pelumba dari Nagano, Jepun itu mencatat masa 3 jam, 50 minit 58 saat untuk menjadi pelumba pertama tiba di garisan penamat.

Dia meninggalkan pencabar terdekat Michael Torckler dari Pure Black Racing (PBR) dan Hari Fitrianto dari Polygon Sweet Nice (PSN).


Biarpun mengharungi perlumbaan dalam cuaca terik, pelumba veteran berusia 40 tahun itu berjaya melakukan henjutan terakhir dengan menamatkan cabaran sejauh 161.5 kilometer.

"Sepanjang laluan ada beberapa pelumba mula keletihan dan semakin ketinggalan termasuk rakan sepasukan saya Mohd. Harrif Salleh.

"Jadi saya tahu perlumbaan peringkat ini sungguh mencabar, apa yang saya mampu buat ialah kuatkan semangat dan kekalkan kedudukan.

"Saya melihat ada pelumba melakukan breakaway pada 20 kilometer pertama. Jadi saya pun cuba mengejar kelompok tersebut dan mengekalkan kedudukan," katanya yang secara automatik turut menyarung Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

Peringkat kedua hari ini bermula dari Bandar Baru Kampar, ke Kulim, Kedah sejauh 201.8 kilometer.

Ia merupakan laluan terpanjang melibatkan tiga zon pecutan (Tasek-KM33.6, Kati-KM77.1 dan Selama-KM167.2) serta satu zon pendakian KOM1 (Bukit Sumpitan-KM130.6).




berita penuh

Sedia modal untuk ternak belut

Oleh: Suriati Ali
YB Haji Asha'ari menunjukkan bakat memasak menu daripada ikan air tawar selepas Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, sebentar tadi. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Kerajaan negeri bersedia memberi modal permulaan jika terdapat mana-mana individu di Terengganu ingin menceburi bidang ternakan belut sebagai alternatif mendapat sumber pendapatan sampingan .

Belut atau nama saintifiknya ordo anguilliformes kini semakin popular berikutan beberapa pengusaha restoran bijak mempelbagai menu daripada belut termasuk sup belut, belut goreng bercili (gambar kiri) dan laksa belut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris, berkata mereka yang berminat wajar merebut peluang itu, kerana kebanyakan pengusaha restoran kini terpaksa membeli belut dari luar Terengganu selain mendapatkannya dengan pencari belut liar.

Katanya, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada mana-mana pihak mengenai ternakan belut melainkan permohonan berkaitan ternakan ikan patin, keli dan baung.

 “Jika ada, kerajaan negeri sudi membantunya dengan mengenakan beberapa syarat tertentu supaya ia tidak merugikan. Mereka yang ingin menceburinya, biarlah serius dan bukannya bersikap sambil lewa dan mudah putus asa.

“Saya cukup kecewa dengan sikap seumpama itu, bila sudah dapat apa yang dihajati, termasuk memperoleh peruntukan atau modal awal, mereka cabut lari dan enggan bertanggunjawab apa yang dilaksanakan itu, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mega Kempen Makan Ikan Air Tawar di Tapak Pasar Tani, Padang Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini..

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Encik Abdul Khali Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Putrajaya, Encik Nik Wahab Mat Diah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Peserta yang hadir pada program anjuran Jabatan Perikan Negeri Terengganu, diberi peluang merasai keenakan beberapa masakan ikan air tawar seperti sup belut, ikan patin masak tempoyak, nuget ikan patin dan sebagainya.

YB Haji Asha’ari turut memberitahu potensi sektor akuapultur di Terengganu sangat luas di mana mempuyai kawasan daratan dan perairan seluas 5,046 hektar.
Katanya, semua kawasan itu dikenalpasti sebagai Zon Insdutri Akuakultur (ZIA) yang berpotensi dan sedang diusahakan untuk pembangunan ternakan ikan air tawar dan air payau.




berita penuh

Atlit termuda timba pengalaman, buru kedudukan terbaik di Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Muncul antara atlit termuda mewakili negara ke Sukan Olimpik London, Nur Shafiqah Hashim, 18, berjanji untuk memberi sepenuh tumpuan selain menempatkan diri dalam kedudukan terbaik di kalangan pemanah seluruh dunia di temasya sukan dunia Julai nanti.

Pemenang pingat gangsa di Sukan Sea Indonesia menerusi gandingan dengan Cheng Cu Sian itu, tidak mahu terlalu yakin dan enggan meletakkan sasaran pingat berikutan penyertaan pertama kali di sukan dunia nanti lebih kepada mahu mencari pengalaman dan memperbaiki pencapaian untuk masa depan.

“Memandangkan saya masih muda dan usia saya seperti baru mahu menanam, belum lagi mengeluarkan benihnya berbanding orang lain yang sudah berpengalaman dan lebih tua dalam sukan memanah.


“Saya berada dalam kelompok elit pun baru setahun. Malah, saya belum mendapat banyak ilmu dan pengalaman sebagaimana atlit senior yang lain,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu itu layak beraksi pada Olimpik 2012 secara merit selepas meraih kedudukan ketiga menerusi acara recurve individu, di Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Iran.

Kejayaan Nur Shafiqah itu turut mengenepikan rakan seangkatan wanita yang lebih senior dalam acara berkenaan.

Menurut ibu Nur Shafiqah, Norzana Abd Rahim, 42, dia tidak menduga daripada hanya mewakili sekolah, akhirnya dalam usia yang masih mentah anak sulung daripada empat beradik yang berkarektor pendiam itu berjaya melayakkan diri ke Olimpik London 2012.

“Saya sangkakan dia hanya (main) biasa-biasa sahaja..tidak sangka terus ke tahap ini mewakili Malaysia. Langsung tidak pernah menduga, tidak pernah bermimpi Shafiqah mampu melangkah begini jauh.

“Walaupun saya tidak bersamanya di London nanti, saya tetap mendoakan Shafiqah dapat melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama negara serta Terengganu yang sudah banyak berjasa dan bertanggungjawab mengetengahkan bakatnya sehingga ke pentas dunia,” katanya.

Selain Nur Shafiqah, seorang lagi pemanah dari Terengganu Khairul Anuar Mohamad dan dua pemanah lain, Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin melayakkan diri ke Olimpik.





berita penuh

Dua musuh tradisi bertemu di pusingan kedua Piala AFC

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu yang gagal mencari tiga mata penuh ketika menentang Kelab Hong Kong, Kitchee FC di Stadium Tseung Kwan O Sports Ground, malam tadi terpaksa bertemu jiran tetangga, Kelantan pada aksi pusingan kedua Piala AFC, 23 Mei ini.

Pertembungan dua seteru Pantai Timur skuad kendalian Khalid Mohd Dahan dengan anak didik Bojak Hodak di peringkat kedua bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu.


Dalam pertembungan malam tadi, Kitchee FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit kesembilan, sebelum Ashaari Shamsudin menyamakan kedudukan enam minit berselang.

Sebelum rehat separuh masa, tuan rumah mendahului Terengganu dengan kelebihan satu jaringan. Bagaimanapun, asakan bertali arus Terengganu akhirnya berjaya memanfaatkan gol penyamaan yang dihasilkan menerusi penyerang, Abdul Hadi Yahya pada minit ke-70 untuk kedua-dua pasukan saling berkongsi mata.

Skuad Penyu bergelar naib juara Kumpulan F dengan mengumpul 10 mata, satu mata ketinggalan di belakang Kitchee FC selepas menutup tirai perlawanan akhir kumpulan dengan sekadar berkongsi satu mata.

Sebelum itu, Kelantan membenam kelab Myanmar, Ayeyawady United, 1-0 kelmarin, untuk mengungguli Kumpulan H..


berita penuh

09 May 2012

BN Terengganu mampu kekal kedudukan

Oleh: Suriati Ali 


Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin dapat mempertahankan kedudukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di samping menambah beberapa kerusi yang kini ditakluki pemimpin pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata pihaknya yakin Umno dan BN mampu mempertahankan Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.

Katanya, kita mampu kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bukan sahaja kepada mereka yang tinggal di kawasan kubu kuat BN malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijajah pembangkang iaitu, Manir, Batu Burok, Rhu Rendang, Ladang, Bukit Tunggal dan Bukit Payong.

“Apa yang saya katakan ini bersandarkan kepada kesedaran rakyat terhadap sandiwara dalam pakatan pembangkang, selain mengorbankan dasar perjuangan ‘Negara Islam Pas’ kepada ‘Negara Berkebajikan’ sejak bersekongkol dengan DAP,” katanya.

Katanya, terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada pilihan raya kan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan.

“Usaha yang dilihat sebagai murahan itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, kerana mereka (pemimpin Pas) begitu terdesak untuk menjadi wakil rakyat hingga sanggup berbohong.



berita penuh

Program Jejak Inovasi intai produk ubi gadong

Oleh; Esah Abdullah

Program Jejak Inovasi Ke Akar Umbi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berjaya mengenalpasti 40 inovasi di seluruh negeri Terengganu.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Kerajaan YIM, Puan Sharmila Mohamed Salleh berkata, antara inovasi yang ditemui ialah sistem ternakan ketam kulit lembut (Kampung Mengabang Bakong), pembuatan bot tradisional inovatif (Kg Pulau Duyong), inovasi keropok lekor B.T.B 2209 (Bukit Tok Beng), inovasi tepung ubi gadung (Kampung Bukit Wan) dan pengeluaran makanan hidup untuk akuakultur (Mengabang Telipot).


“YIM akan mengiktirafkan lima inovator terbaik dan hasil inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan akan di beri bimbingan serta dimasukkan kedalam Program Laluan Laju,” katanya dalam program jejak inivasi di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit baru-baru ini.

Katanya, YIM akan membuat kajian dari pelbagai sudut termasuk dari segi komersial, pulangan kepada pengusaha serta peluang pasaran jangka panjang.

Menurutnya, YIM merupakan sebuah sebuah agensi di bawah MOSTI yang menyasarkan untuk merekodkan 300 buah produk inovasi akar umbi menerusi program Jejak Inovasi di 15 lokasi di seluruh Negara pada tahun ini.

“Tahun ini, Jejak Inovasi telah bermula di Temerloh, Pahang pada (3-5 Mac), di Kelantan (13–15 April) dan Terengganu (28-30 April),” katanya.

Katanya, rombongan disertai 35 pegawai YIM, Jabatan Strategik Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertujuan membuat penemuan dan merekod inovasi akar umbi bagi membantu pereka akar umbi membangunkan inovasi mereka melalui kepakaran-kepakaran yang disediakan, dengan matlamat membantu meningkatkan pendapatan, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat akar umbi.

Menurut Puan Sharmila, tahun lepas Jejak Inovasi telah meninjau produk-produk inovasi di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia, bermula di Melaka, Sabah dan Sarawak. Dan semua produk yang dikenalpasti akan didokumentasikan di dalam pengkalan data.

Tambahnya, program ini telah berjaya melibatkan interaksi rapat di antara kumpulan pakar penjejak, yang terdiri daripada individu-individu berpengetahuan teknikal dan berpengalaman dalam bidang kepakaran khusus yang bertindak sebagai mentor, melalui nasihat teknikal dan kaedah mempertingkatkan mutu produk rekacipta.






berita penuh

Pupuk minat membaca bersama Y. M. Sayed Munawar

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Timur akan menganjurkan Program Bicara Eksklusif bersama Pengacara RTM, Y. M. Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertempat di dewan teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

Kira-kira 1,000 peserta terdiri warga pendidik, pemimpin masyarakat, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dijangka hadir pada program yang bakal diadakan pada 14 Mei ini .


Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, seminar yang bertemakan 'Transformasi Minda Dengan Membaca' itu diadakan bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menyuntik amalan membaca sebagai amalan wajib.

“Ia juga mampu meningkatkan produktiviti demi kemajuan dan kepuasan diri setiap individu ke arah menyokong pembangunan modal insan yang dilaksanakan kerajaan Terengganu.

“Peserta sewajarnya mengambil manfaat terhadap program yang julung kali diadakan ini kerana pelbagai maklumat berguna bakal diperoleh terutama mengenai bagaimana ingin pupuk sikap minat membaca,” katanya



berita penuh

40 pemimpin KRT Taman Seri Andalas Klang lawat Besut

















Oleh: Mohammad Ishak 

Kehebatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Besut mempelbagaikan aktiviti untuk faedah masyarakat mendorong pemimpin Kawasan Rukun Tetangga dari luar memilih untuk mengadakan program bersama dengan penduduk daerah ini.

Terbaru, KRT Seri Sedeli,Taman Seri Andalas,Klang, Selangor, melakukan lawatan dua hari ke daerah ini bertujuan merapatkan hubungan antara kedua-dua organisasi berkenaan.

Rombongan yang disertai 40 peserta termasuk Jiran Wanita, Usia Emas dan Jiran Muda itu bertujuan meningkatkan semangat perpaduan dan integrasi nasional antara masyarakat negeri ini.

Pelbagai acara menarik diadakan bagi menyambut rombongan berkenan termasuk sukaneka, lawatan ke beberapa tempat menarik sekitar daerah Besut,majlis makan malam bersama pemimpin KRT Daerah Besut dan lawatan ke Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ketika majlis akan malam yang diadakan di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Daerah Besut, mereka diraikan dengan persembahan hiburan tradisional sambil bertukar cederamata.

Selepas itu,rombongan dibawa melawat sendiri ke kawasan rondaan malam yang dikendalikan oleh SRS Alur lintah, di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

Rombongan berkenaan turut disambut ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Tukimin Sarlan.

Paling menarik anggota SRS kedua-dua KRT terbabit turut mengadakan sesi rondaan bersama kira-kira satu jam sekitar perkampungan berkenaan untuk bertukar-tukar pengalaman.

berita penuh

ISU TANAH: YANG MELAUNGKAN PENCURI! PENCURI! SEBENARNYA DIALAH PENCURI.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita. 


Pas semakin terperangkap dengan isu yang diciptakan sendiri. Misalnya bila membangkitkan tentang isu pembahagian tanah, akhirnya terkena ke atas batang hidung sendiri.

Penyokong-penyokong mereka diperalatkan mengadakan demonstrasi di depan Wisma Darul Iman, kononnya membantah Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang menyeleweng , rampas tanah dan sebagainya.

Namun begitu, tahukah oleh pengikut mereka itu, ada pemimpin mereka sendiri sewaktu berkuasa sebelum ini juga terlibat dalam apa yang mereka tuduh kepada Kerajaan BN, termasuk yang mengetuai unit-unit tertentu dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Kalau mereka tahu maklumat sebenar, sanggupkan mereka diperalatkan, berdemo ditengah panas , hatta ada yang sampai bawa anak isteri bersama di atas dukungan, konon berjuang untuk kebenaran dan agama.

berita penuh

Peneroka Felda mula terima cek ‘durian runtuh’ esok

Oleh; Esah Abdullah

Semua peneroka di tanah rancangan Felda di negeri ini akan mula menerima ‘durian runtuh’ pemberian kerajaan Barisan Nasional mulai esok (10 Mei).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pengurusan Felda Terengganu akan mengadakan Program Sejahtera Peneroka Bersama Pemimpin di setiap Parlimen yang turut dihadiri pemimpin negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.


Katanya, program itu merupakan satu mekanisme pemimpin mendekati masyarakat peneroka dalam mewujudkan kesejahteraan serta memaklumkan perkembangan terkini mengenai Felda yang menyentuh kehidupan mereka.

Sehubungan itu, majlis pertama akan diadakan di Pusat latihan Kerteh dalam Parlimen Dungun (10 Mei) yang akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, YB Haji Matulidi Jusoh.

Ini diikuti Felda Kerteh 5, yang akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan membuat penyampaian cek di Felda Belara bagi Parlimen Kuala Nerus (13 Mei).

Majlis yang serupa juga akan diadakan di Felda Jerangau barat (14 Mei) bagi Parlimen Hulu Terengganu, Felda Tenang, Besut dan Felda Selasih, Setiu (17 Mei), Felda Jerangau, Dungun (22 Mei) dan Felda Cerul Kemaman (25 Mei).




berita penuh

08 May 2012

Kurang pendedahan punca kanser usus serius

Oleh; Esah Abdullah

Penyakit kancer usus dan kanser hati dikenalpasti dua penyakit yang kurang diberikan pendedahan kepada pesakit di kawasan pantai timur sedangnya penyakit tersebut adalah berisko tinggi.

Presiden Kelab Gasthrohepatologi & Endoskopi Pantai Timur (KGHE) , Dato’ Dr Rosemi Salleh berkata, kebanyakan kes penyakit tersebut dikesan apabila sudah mencapai tahap serius.


Menurut beliau, masalah lambat dikesan itu berpunca kerana kurang pengetahuan mengenai tanda-tanda awal penyakit berkenaan bagi membolehkan rawatan awal dilakukan.

Katanya, ramai masyarakat kurang mengetahui kuman hepatitis B dan C boleh menyebabkan kepada kancer hati yang kini banyak dihadapi oleh pesakit di pantai timur selain kanser usus.

``Oleh itu KGHE akan memberi tumpuan kepada penyakit berkenaan selain penyakit lain dalam usaha meningkatkan pengetahuan kepada pesakit dan kemahiran kepada perawat sama ada di hospitak kerajaan, swsata atau klinik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Gastro-Hepatology Pantai Timur Kali Ke 2, di Primula Beach Hotel. Seramai 160 peserta terdiri pakar perubatan dan jururawat daripada hospital kerajaan dan swasta seluruh negara menyertai seminar tiga hari itu.

Dr Rosemi , yang juga Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu berkata, seminar yang diadakan kali ini diharap dapat meningkatkan lagi kemahiran kepada kakitangan yang merawat dan pengetahuan orang ramai dapat ditingkatkan.

``Kita mahu pesakit mempunyai pengetahuan dan mengetahuai apa yang sepatutnya dilakukan apabila mempunyai tanda-tanda awal dan jangan menunggu di saat akhir,’’ ujarnya.

Menurut beliau, KGHE yang ditubuhkan tiga tahun lalu menjadikan seminar tersebut sebagai aktiviti tahunan yang bermula pada tahun lalu diadakan Kuantan dan tahun depan akan diadakan di Kota Baharu.

Sempena dengan seminar tersebut turut diadakan pameran mengenai peralatan terikini dalam bidang perubatan.




berita penuh

‘Durian runtuh’ RM1.689 bilion untuk 112,635 Felda

Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda.

Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Ketika mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, dekat sini, Najib berkata Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.


Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.

Turut hadir, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari Selasa.

"Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, 'blue form' untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi".

Najib berkata setiap peneroka akan menerima `blue form' untuk dapatkan saham FGVH dan beliau amat berharap peneroka tidak akan menjual saham berkenaan.

Perdana Menteri pada program itu turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.

"Saya tak rela dan redha mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja yang layak menerima durian runtuh ini," katanya.

Najib berkata durian runtuh itu dilihat amat bermakna untuk para peneroka yang telah banyak berkorban membangunkan tanah rancangan yang pada asalnya hanya hutan rimba.

"Bantuan ini bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), hanya RM500, ini bukan BR1M, tapi BROOM," katanya sambil berseloroh.

Najib berkata Felda yang bermula di Lurah Bilut pada 1956 kini telah memasuki fasa terakhir abad 21 yang bukan lagi bertatih tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia.



berita penuh

JHEAT belanja RM480,000 kursus imarah masjid 2010-2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.


Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010.

“Kehadiran peserta pada tahun lalu lebih baik dan meningkat apabila 2,342 atau 70.10 peratus peserta berjaya hadir ke semua empat siri kursus JHEAT melaksanakannya sejak awal hingga penghujung 2011.

“Jumlah pada tahun lalu itu tidak termasuk kursus fasa tiga yang dilaksanakan pada 3 November di tiga daerah, Kuala Terengganu, Besut dan Marang yang merekod kehadiran 253 orang dengan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM35,000,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Mohd Rozali berkata, sehingga kini, lebih 50 peratus peserta berjaya hadir ke setiap sesi kursus yang lazimnya diperuntukkan kepada 100 hingga 120 peserta itu.

Beliau berkata, JHEAT akan terus mengadakan program pengimarahan itu bagi memastikan peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu akan terus diperkasakan dan di pandang tinggi seluruh umat Islam.

Dalam perkembangan yang sama, jumlah peserta sepanjang tahun lalu itu berjaya mencapai sasaran JHEAT untuk memastikan kira-kira 1,000 imam dan bilal menyertai kursus itu secara berperingkat-peringkat bermula April sehingga penghujung 2011.



berita penuh