Halaman

06 October 2012

PM dan isteri hadiri majlis persandingan anak sulung MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor meluangkan masa menghadiri majlis persandingan anak sulung Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, hari ini.

Dato' Seri Mohd Najib disambut ribuan rakyat jelata ketika tiba di perkarangan rumah  Menteri Besar Terengganu
Dato’ Seri Mohd Najib tiba ke kediaman Menteri Besar kira-kira jam 1 petang selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih kira-kira tiga jam sebelum itu.


Sejurus tiba, beliau disambut Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud memasuki kediaman untuk bersuai kenal sebelum diiringi ke pentas utama dan menyaksikan persandingan kedua mempelai, Puan Nor Asdayana Dato' Seri Haji Ahmad dengan suaminya, Mohd Hafiz Adnan.

Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Paduka Rosmah menepung tawar pengantin sebelum makan beradap bersama pengantin dan kedua ibu bapa pasangan pengantin.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Seri Bendahara Raja; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri ketua-ketua jabatan, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, lebih 10,000 penduduk seluruh Terengganu, khususnya dari kawasan Kijal membanjiri majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September lalu. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.





 

PM lawat bekas Adun Kemasek

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang melawat Terengganu hari ini sempat meluangkan masa menziarahi bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Dato’ Haji Abu Bakar Ali, di kediamannya di Kertih.

Perdana Menteri dan isteri melawat bekas Adun Kemasik, Dato' Haji Abu Bakar Ali di rumahnya di Bandar Baru Kertih, Kemaman.
Dato’ Seri Mohd Najib meluangkan sedikit masa bagi bertanyakan khabar bekas Adun Kemasek itu yang terlantar sakit sejak lebih tiga bulan lalu.

Dato’ Abu Bakar merupakan salah seorang veteran Umno Terengganu yang lama berkhidmat sebagai Adun iaitu selama lima penggal (terakhir bertanding di DUN Kemasek pada Pilihanraya Umum 2004 dan menang).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi bekas pemimpin yang popular dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu.

 

Kerjasama erat Kerajaan Negeri, Pusat tarik pelabur asing

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Pusat, mampu menarik pelabur asing datang melabur ke negeri ini, sekaligus membantu memberi pendapatan sampingan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika memberi ucapan pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha gigih yang dilakukan pemimpin kerajaan negeri dengan dibantu Kerajaan Pusat telah membantu membawa banyak pelabur asing ke negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kini syarikat dari Korea dan Perancis bersetuju melabur RM2 bilion bagi membina loji bio-metionina pertama di dunia, di Taman Biopolimer Kertih di Kertih.


“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kerana telah membantu membawa pelaburan yang besar ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Pusat akan terus kekal bagi memastikan pembangunan dan usaha menarik pelabur ke Terengganu berjalan lancar.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan memberi komitmen yang tinggi kepada Syarikat CJ CheilJedang dan Arkema yang terlibat dengan pembinaan loji bio-metionina ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga kini sedang menggalakkan penanaman pokok petai belalang bagi membolehkan ia dibekalkan kepada kilang itu nanti.


Terengganu terpahat di peta dunia - PM

Perdana Menteri, Dato' Seri Moh Najib Tun Abdul Razak diiringi Dato' Seri Haji Ahmad Said serta pelabur utama melihat upacara pecah tanah kilang berkenaan di Kertih, Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

 Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negeri Terengganu, khususnya Kertih, amat bertuah kerana ia akan terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi dengan terbinanya loji bio-metionina pertama di dunia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata rakyat negara ini tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kita mampu mempunyai projek sebesar ini (dengan pelaburan RM2 bilion) yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global.

Gimik majlis pecah tanah yang dilakukan Perdana Menteri.
“Tapi hari ini, ianya terbukti menjadi kenyataan, hasil daripada perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif CJ Cheiljedang, Encik Kim Chul Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Encik Marc Schuller.


Projek pembinaan loji bio-metionina tersebut diusahakan CJ Cheiljedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, akan memulakan operasi pada akhir tahun depan.



Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar dan turut memberi manfaat kepada ramai penduduk sekitarnya yanag akan membekalkan petai belalang sebagai bahan utama kilang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap projek tersebut juga akan turut memanfaatkan penduduk di negeri lain di maan mereka juga boleh mengusahakan tanaman petai belalang untuk dijual ke kilang berkenaan.


PM Pecah Tamah Loji Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema

TERKINI:

Perdana Menteri, Dato'Seri Mohd Najib Tun Razak melakukan pecah tanah Loji Pengeluaran Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema di Taman Bio-Polimer Kertih, Kemaman pagi tadi (6 Oktober 2012).

                          Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA



Perdana Menteri melakukan gimik pecah tanah kilang berkenaan.
Meninjau kawasan pembinaan.

Majlis menandatangani plak perasmian.




Melihat pelan dan kedudukan kilang berkenaan.







30 Anggota TUDM Gong Kedak sertai gotong royong bersih kubur bersama penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu tidak pernah dipersiakan oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Gong Kedak, sebaliknya dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah terutama khidmat komuniti bersama masyarakat.

Program gotong royong membersih tanah perkuburan Islam di Kampung Denger, dekat Jertih, oleh anggota pasukan itu bersama kampung sebahagian daripada khidmat komuniti hujung minggu yang kerap dijalankan oleh pasukan berkenaan.

Seramai 30 anggota yang tidak terbabit dengan tugas harian menyertai gotong membersih kubur berkenaan yang turut disertai Pegawai Memerintahnya, Kol Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kol Mohd Asghar berkata, pihaknya sentiasa turun padang mendekati masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bertujuan merapatkan hubungan antara anggota dengan komuniti.

Katanya, menerusi khidmat sukarela itu juga ia dapat membantu pihak terbabit menjayakan sesuatu aktiviti di kampung masing-masing.

Menurutnya, hampir setiap minggu anggota TUDM berkenaan keluar ke kampung sekitar daerah Besut apabila ada pihak terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid menjemput untuk mengadakan kerja gotong royong.

“Kerja gotong bersama penduduk selain dapat meningkatkan semangat kerjasama kedua belah pihak ia juga mampu melatih anggota dalam aktiviti amal,” katanya.

Beliau berkata, TUDM kini mengadakan pendekatan baru bagi mempastikan seluruh anggota turut terbabit dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh penduduk sekitar daerah Besut.

05 October 2012

SEMPENA LAWATAN PM ESOK: TERENGGANU BANGUNKAN LOGI BIOMETIONINA (BAHAN MAKANAN HAIWAN) PERTAMA DI DUNIA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Tidak hebatkah Terengganu di bidang pelaburan sehingga dua negara berkongsi ilmu dan teknologi membuka kilang dan hanya memilih Malaysia dan negeri Terengganu satu satu pilihannya untuk kilang pertama seumpamanya di dunia bagi penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi.

Terengganu sebagai tapak bagi pembinaan loji biometionina pertama di dunia memberi dokongan kepada Arkema (syarikat dari negara Perancis untuk kimia), mengukuhkan kehadirannya di Malaysia di mana ia telah mempunyai pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun. 

Projek bagi menghasilkan bahan makanan haiwan ternakan dirintis melalui usahasama CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis dengan pelaburan awal dianggarkan bernilai RM2 billion.

Manakala CJ CheilJedang Corp, South Korea’s adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua.

Gabungan Arkema syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis dengan syarikat dari Korea Selatan di bumi Terengganu ini membuktikan bahawa Terengganu boleh!

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak akan melakukan perasmian pecah tanah bagi projek itu esok. Tahniah pemimpin dan rakyat Terengganu.
Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar tahun depan dan akan beroperasi pada 2013.

Ini akan menjadi pencapaian bagi industri bahan tambahan makanan global kerana bagi pertama kalinya, pengeluaran bio-metionina akan menyatukan kedua-dua bioteknologi canggih dan kimia gunaan. 

Bio-metionina adalah belerang asid amino yang banyak digunakan bagi makanan haiwan di Asia. 

Pemilihan Terengganu khususnya dan Malaysia amnya berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini adalah kerana insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen.

Arkema merancang untuk membangunkan platform baru Asia untuk thio (kimia sebatian sulfur) pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak itu menjangkakan projek dapat menjana kesan limpahan yang ketara dan menggalakkan aktiviti ekonomi baru seperti penjanaan wap menggunakan sumber diperbaharui.

Rakyat Terengganu juga gembira Perdana Menteri mutakhir ini setiap bulan menerima pelawaan bagi mengunjungi Terengganu Darul Iman.

Baru sahaja pada 6 September lalu berjumpa di perhimpunan yang melimpah 30 ribu rakyat Setiu dan Besut, esok 6 Oktober akan ke Kemaman pula merasmikan kilang berasaskan teknologi baru. Sebelum itu pada 9 Ogos telah pun datang berbuka puasa di Dun Tepoh dalam Parlimen Kuala Nerus dan daerah Kuala Terengganu. Februari lalu (3 Feb) telah pun datang ke Dun Batu Buruk, Ladang dan Rhu Rendang.

Ini bermakna Terengganu, pemimpin dan rakyatnya amat dekat di hati Dato' Sri Mohd Najib.

Pusat Hemodialisis beroperasi awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan bakal terbela selepas sebuah pusat hemodialisis yang dikendalikan Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu bakal beroperasi awal tahun depan.

Pengerusinya, Dr Le Hong Bio, berkata sebanyak 20 unit mesin hemodialisis ditempatkan di pusat perubatan yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini sebagai memenuhi keperluan terhadap rawatan itu.

“Bangunan pusat hemodialisis itu sudah pun siap dan kini dalam proses memindahkan mesin serta peralatan perubatan lain sementara menunggu lessen penuh untuk beroperasi.

“Dua konsultan iaitu pakar dalam bidang nefrologi yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah akan memantau keseluruhan operasi dan rawatan di pusat itu,” katanya.

Pusat Hemodialisis itu akan diterajui Tengku Besar Terengganu Yang Teramat Mulia Syarifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof selaku presiden seumur hidup dan naib Presidennnya, Tan Sri Kuang Yong Kuan.


Kerajaan cadang tempatkan doktor di Klinik 1Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan sediia menimbang menempatkan seorang doktor di Klink 1Malaysia jika perkhidmatan yang disediakan di klinik berkenaan mendapat sambutan daripada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar berkata, bagi mencapai matlamat itu sesebuah klinik 1Malaysia perlu mencapai sasaran sehingga 100 pesakit sehari.

Katanya, jika jumlah pesakit yang berkunjung untuk mendapatkan ratawan harian ia agar sukar bagi kerajaan menimbang untuk menempatkan doktor di klinik berkenaan.

“Oleh itu orang ramai yang tinggal berhampiran Klinik 1Malaysia perlu memberi sokongan dan menggunakan perkhidmatan yang sedia ada di klinik terbabit bagi memudahkan Jabatan Kesihatan menempatkan seorang doktor,” katanya.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata demikian pada majlis perasmian Klinik 1Malaysia di Kampung Nyior Tujuh, dekat Jertih, di sini hari ini.

Pengerusi MARA yang juga ADUN Jertih merasmikan klinik berkenaan. Beliau memberi jaminan perkhidmatan di Klinik 1Malaysia akan memberi khidmat tidak lebih daripada setengah jam kepada semua pesakit yang datang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Idris berkata klink terbabit yang mula beroperasi awal tahun ini dapat mengurangkan jumlah pesakit yang datang menerima rawatan di Hospital Besut (HB).

Beliau berharap, orang ramai yang tidak memerlukan rawatan kritikal diminta datang ke klinik berkenan kerana ia mampu memberi perkhidmatan terbaik kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan ubat yang cukup.

PIBG main peranan tangani isu LGBT

Oleh; Esah Abdullah

 Isu Lesbian,Gay, Bisexual,Transgender (LBGT) bukan masalah kerajaan semata-mata sebaliknya masalah semua anggota masyarakat yang perlu ditangani segera.

 Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Putrajaya, Dato’ Haji Shahlan Ismail berkata, PIBG bertanggung jawab untuk memberi khidmat kepada masyarakat seluruhnya tentang gejala ini.

“Program yang diadakan ini merupakan inisiatif tambahan PIBG untuk membantu masyarakat dalam menangani isu LGBT daripada terus menghantui masyarakat hari ini,” katanya kepada pemberita di Seminar Keibubapaan , Menangani Isu LGBT di Stadiun Negeri Kuala Terengganu semalam.

Seminar sehari itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, YB Dr. Haji Mohd Fuad Zarkashi. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, PIBG juga amat mengalu-alukan jika kementerian dapat lahirkan kaunselor yang bertauliah untuk menangani masalah ini.

 “Saya yakin masyarakat yang waras akan menolak LGBT ini kerana jelas dalam Islam yang mengharamkan hubungan sejenis dan mana-mana pihak yang mahu menghalalkan perkara yang diharamkan di sisi agama adalah dikira murtad ,” katanya.

Katanya, seminar ini diadakan di seluruh negara termasuk di Terengganu merupakan kali ke-12 dan akan terus diadakan bagi memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai pengertian sebenar perlakuan LGBT, simptom-simptomnya serta pendekatan terbaik bagi membendung penularan budaya ini.

Pihaknya juga akan melebarluaskan program ini dalam ruang lingkup sekolah dengan menyampaikan maklumat mengenai isu ini kepada ibu bapa.

Seramai 3,000 peserta terdiri daripada guru dari 490 buah sekolah rendah dan menengah dan Pengerusi PIBG di seluruh negeri menyertai seminat berkenaan.

Dua kertas kerja bertajuk pengenalan LGBT oleh Cr, Haji Hushim Salleh daripada HUsim MOtivasion & Counselling Consultancy; liberalisasi-cabaran masa kini oleh Dato’ Haji Shahlan Ismail dan forum; perkongsian pengalaman dengan bekas LGBT.

 

Kerajaan Yang Meringankan Beban Rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dikurniakan sebuah negara yang aman di mana mereka bebas melakukan apa saja selagi ia tidak menyalahi undang-undang.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, berkata rakyat Negara ini tambah bertuah kerana mereka mempunyai kerajaan yang cakna rakyat dan sentiasa mencari jalan bagi membantu meringankan beban mereka.

“Banyak negara lain tidak berpeluang mengecapi keamanan dan kemewahan hidup seperti yang berlaku di negara kita,” katanya pada majlis Forum Perdana bertajuk ‘Buat Molek Sokmo’ yang diadakan di Padang Astaka Chukai, Kemaman, malam tadi. Sultan Terengganu,

Pas gagal, tutup peluang kekal

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan Pas melaksanakan sebarang pembangunan dan kebajikan kepada rakyat sudah cukup untuk menutup peluang pembangkang mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pas yang hanya menang dengan majoriti 313 undi gagal memikul mandat penduduk yang sudah tersilap percaturan memilih mereka pada PRU12 lalu.

 Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata pemimpin Pas hanya sekadar ada pada nama selaku Ahli Dewan Undangan Negeri, hakikatnya Kerajaan BN juga yang melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin bagi memastikan tiada rakyat di DUN berkenaan terpinggir.

“Sebuta sahaja Adun Pas, bagaimanapun kerajaan BN yang memikul tanggungjawab tanpa henti, terus komited dan bekerja keras bagi memastikan nasib rakyat di sini tetap terbela dan mendapat bantuan sewajarnya,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Encik Zaidi berkata, Pas bukan sahaja gagal menjadi pemimpin yang baik dan bertanggungjawab, malah prinsip perjuangan mereka kian jauh tersasar apabila sanggup bersekongkol dengan parti lain seperti PKR dan DAP, di mana Pakatan Rakyat itu jelas tidak sefahaman dalam memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, Encik Zaidi berkata, jentera parti di DUN berkenaan sudah bersiap-sedia `bertempur’ bagi mengembalikan semula kawasan itu kepada BN pada PRU nanti.

 Katanya, jentera parti sudah memperkemaskan gerak kerja di setiap peti undi DUN melibatkan persiapan dari segi daftar pemilih, gerak saraf, sistem maklumat, bacaan sikap serta kepimpinan bagi memastikan persiapan berdepan PRU berjalan lancar dan mantap.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda dan pengundi atas pagar juga sudah ramai menyokong BN kerana melihat dasar kerajaan negeri mahu pun Pusat yang sentiasa memberi tumpuan kepada semua golongan termasuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Dana Bakti Remaja dan juga Dana Hari Raya.

Sebagai contoh, katanya seramai 4,694 penduduk di DUN itu menerima Dana Hari Raya berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini, meningkat kira-kira RM100,000 berbanding tahun lalu.

 “Kebanyakan rakyat amat berpuas hati dengan prestasi semasa Kerajaan BN dan Umno yang jelas meringankan bebanan rakyat serta menepati janji yang dibuat, malah mereka juga tidak bercakap kosong seperti pembangkang yang hanya tahu menabur janji dan mengadu-domba bagi memecah-belahkan kepimpinan hari ini,” tambahnya.

 

04 October 2012

Klinik 1Malaysia pertama di Besut dirasmikan esok

Oleh: Mohammad Ishak

Perkhidmatan Klinik 1Malaysia di Kampung Nyior Tujuh, dekat Jertih, satu lagi usaha kerajaan untuk memberi khidmat kesihatan lebih baik dan selesa kepada penduduk di daerah Besut khususnya mereka yang tinggal di kawasan Jertih.

Penubuhan klinik berkenaan juga sebahagian tindakan pihak Jabatan Kesihatan Terengganu untuk mengurangkan kebanjiran pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di Hospital Besut (HB) yang semakin meningkat.

Selepas beroperasi awal tahun ini klinik yang terletak di laluan utama Jalan Jertih-Kampung Raja, itu akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih ,Dato;Seri Idris Jusoh, esok (Jumaat).

Sempena dengan majlis perasmian itu pelbagai acara menarik diadakan bagi memberi peluang pengunjung mengetahui ujudnya Klinik 1Malaysia di bandar Jertih.

Antaranya termasuklah saringan penyakit kronik,jantung-ECG/HIV/Pap Smear,kuiz dan pameran ubat beracun.

Selain itu,pihak penganjur juga turut mengadakan mini sukan jet kertas, menganyam ketupat dan pertandingan basikal lambat.

Pengunjung yang datang menghadiri majlis perasmian berkenaan juga berpeluang membawa pulang dua buah basikal dan pelbagai barangan elektrik menerusi acara cabutan bertuah.

CAKNA REMAJA

Oleh: Ruslan Rahman 

Terengganu yang sebelum ini telah memperkenalkan Dana Bakti Remaja sebanyak RM200 seorang tentulah berasa amat bangga apabila dalam Bajet 2013 turut memperkenalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM 2.0) kepada individu bujang yang berpendapatan tidak melebihi RM2000 sebulan,sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak.

Misalnya tahun ini (2012), kira-kira 85,000 belia di seluruh Terengganu baru sahaja menerima Dana Bakti Remaja yakni diperolehi belia yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, kira-kira RM17 juta yang peruntukan. Setiap belia berusia antara 21 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Tahun lalu (2011) seramai 83,197 belia yang membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Pembangkang bagai cacing kepanasan-Dr Fuad Zarkashi

Oleh; Esah Abdullah

Pembangkang kini ibarat cacing yang kepanasan setelah Bajet 2013 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Haji Mohd Fuad Zarkashi berkata, melihat Bajet 2013 yang sebegitu rupa, yang telah mengembirakan semua golongan rakyat, mereka cuba mengalih pandangan rakyat terhadap isu lain.

“Pembangkang seolah terdesak mereka cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan merancangkan perhimpunan besar-besaran pada 3 November depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan, Menangani Isu Lesbian,Gay, Bisexual,Transgender (LGBT) di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

 Katanya, apa yang diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu semalam itu tidak ubah sepeti cacing kepanasan yang tidak dapat dibendung akibat lahar pembentangan bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Jumaat lalu.

 “Saya melihat mereka sudah tidak mampu berhujah dalam Parlimen dalam tempoh seminggu ini dan jalan terakhir mereka ialah menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 3 november ini,” katanya.

Tambahnya, perhimpunan yang bakal diadakan itu adalah ekoran perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan tidak lama dulu bagi menuntut lapan perkara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 “Saya nampak mereka ini tidak serik dengan Bersih 3.0 dan yakin ingin mengulangi perkara sama iaitu mewujudkan suasana ketegangan dan tidak harmoni kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

 “Mereka ingin menutup kelemahan mereka apabila pendedahan demi pendedahan salah laku pemimpin pembangkang dan yang terbaru mengenai penggunaan jet peribadi , maka jalan terakhir adakan perhimpunan yang dirancang itu,”.

 “Pada saya tujuan mereka hanya untuk mengalihkan pandangan rakyat yang terbukti sedang gembira dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

 

LGBT perlu ditangani bersama

Oleh; Esah Abdullah

Pendidik dan ibu bapa perlu ada kesedaran dan kefahaman tentang isu lesbian, gay,bisexual dan transgender (LGBT) yang melanda masyarakat hari ini, bagi menanganinya secara bijaksana.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Haji Mohd Fuad Zarkashi berkata, masalah LGBT merupakan satu masalah besar dan perlu ditangani secara bersama antara kerajaan dan golongan pendidik serta ibu bapa.

“Yang penting mereka yang terbabit perlu dipulihkan dan setakat ini ada yang telah kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

 Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. Dr Mohd Fuad berkata, masalah tersebut merupakan isu yang besar di negara kita dan perlu ditangani secara bersama oleh masyarakat.

“Apa yang berlaku hari ini, ibu bapa sendiri sebenarnya tidak sedar bahawa anak mereka telah terjebak ke dalam gejala ini dan hanya tahu setelah mereka telah jauh terpesong,” katanya.

Beliau turut menayarankan agar pelajar-pelajar dapat bertemu dengan guru kaunseling tiga kali dalam tempoh seminggu dan guru-guru juga perlu ada kemahiran mengendalikan pelajar yang mempunyai masalah tersebut.

Katanya, guru-guru harus bijak menangani masalah ini dengan menilai kebaikan dan tidak membesarkan keburukan serta beri tunjukajar tentang kebaikan yang termuat dalam internet.

Beliau menyarankan guru-guru teknologi maklumat (IT) boleh memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar mengenai kemudahan yang ada di internet khususnya dalam hal-hal ilmiah.

“Kerajaan hari ini bertindak untuk perbetulkan perkara yang salah dan saya berani mengatakan ada pihak telah mengambil kesempatan mempolitikkan perkara ini dan mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan,” katanya

Katanya, kebimbangan kita hari ini ialah ada pemimpin yang melihat kepentingan politik sahaja tanpa melihat kepentingan negara bangsa yang ingin kita bina dan mereka anggap inilah kesempatan yang harus diambil untuk mendapatkan simpati rakyat.

 

Sultan Mizan berkenan berangkat rasmi IKBN Kemasik

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda, di Kemaman hari ini.



Keberangkatan baginda yang diiringi Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Shabery Cheek; Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah dan pembesar-pembesar negeri.

Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pengarah IKBN Kemasik, Mohd Zaki Mahmud dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.



Baginda kemudian bertitah merasmikan IKBN Kemasik dan menandatangani plak perasmian sebelum mencemar duli kira-kira 15 minit mengadakan lawatan ke tapak pameran.



IKBN Kemasik merupakan IKBN kedua dibina di negeri ini selepas di Wakaf Tapai, Marang dengan menawarkan tiga bidang iaitu perhotelan, hospitaliti dan perkhidmatan personal.

Ia dibina di atas tapak seluas 20 hektar dengan kos sebanyak RM78 juta di mana pada masa ini seramai kira-kira 300 pelajar sedang mengikuti latihan dan kemahiran yang disediakan di institut itu.

IKBN Kemasik yang dibuka pada 18 Oktober dua tahun lalu, menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia dalam sektor tumpuan utama perindustrian dan dijangka mensasarkan kira-kira 500 pelajar bakal mengikuti latihan di institut itu menjelang 2014.

 

IKBN Kemasik turut beri manfaat kepada masyarakat setempat

Oleh: Suriati Ali


Kewujudan Institut Kemarihan Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman bukan saja menawarkan kursus berkaitan kepada pelajar malah turut memberi faedah kepada masyarakat setempat berikutan menawarkan kursus-kursus kemahiran jangka pendek dan berpeluang menggunakan kemudahan di institut itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Shabery Cheek, berkata apa yang ditawarkan kepada penduduk, terutama suri rumah dan ibu tunggal seperti kursus memasak, menjahit, membuat kek dan pastri itu mampu mengubahkan graf kemiskinan keluarga kepada kehidupan lebih selesa.

"Selain itu, kemudahan peralatan sukan, dewan asrama turut boleh diguna pakai oleh masyarakat luar sebagai inisiatif melahirkan individu sihat dan gemar bersukan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IKBN Kemasik, Kemaman, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan IKBN itu sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda.

Penubuhan IKBN tersebut merupakan satu bukti kecaknaan kerajaan terhadap golongan belia di negara dalam usaha menyediakan pelbagai latihan dalam memberi nilai tambah kepada golongan itu.

Dato' Seri Shabery turut memberitahu melalui IKBN Kemasik golongan belia mampu mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang kemahiran dan mampu menempatkan diri dalam sektor perindustrian yang berkembang pesat di negara pada masa ini.

"Kita berharap dengan kemudahan seperti ini dapat dimanfaat golongan muda untuk menempatkan diri mereka di dalam bidang perindustrian dan kerjaya-kerjaya lain apatah lagi di IKBN Kemasik turut menawarkan fokus kerjaya yang jarang dikenali sebelum ini iaitu kedi.

" Ia dikendalikan di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf yang kini telah pun melahirkan kira-kira 50 kedi dan telah mendapat pekerjaan di seluruh kelab golf di negara.

 "Selain itu, bidang-bidang seperti perhotelan juga merupakan satu bidang yang semakin mendapat tempat di dalam industri dan saya berharap pada masa akan datang IKBN dapat membina sebuah hotel latihannya sendiri yang dilengkapi dengan kemudahan terbaik serta menjadi tanda aras kepada sekolah-sekolah perhotelan lain," katanya.

 

Kabinet bayangan pembangkang bukti Anwar utamakan kroni

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kabinet bayangan pakatan pembangkang seperti yang didedahkan pengendali blog papagomo.com jelas membuktikan konsep kronisme yang dipopularkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mengikut pendedahan yang dibuat pengendali blog berkenaan,

Anwar sendiri akan mengetuai Kerajaan Pakatan Rakyat dengan menjadi Perdana Menteri jika PR berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).


Beliau yang dikatakan ‘master mind’ dalam pembentukan ‘kabinet angan-angan’ itu turut menyenaraikan isterinya, Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai menteri.

Tidak cukup dengan itu, beliau membayangkan untuk melantik rakan-rakanya seperti Azmin Ali, Husam Musa dan Elizabeth Wong untuk menjawat jawatan portfolio penting dalam kerajaan.

Kabinet bayangan itu jelas menampakkan usaha Anwar menjadikan pentadbiran negara sebagai milik keluarga dan sahabat-sahabatnya jika PR berjaya membentuk kerajaan.

Sebelum ini, Anwar mempelopori kronisme dalam pentadbiran kerajaan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di mana banyak projek-projek besar diserahkan kepada kroni beliau.

Sewaktu Anwar berada dalam kerajaan dengan beliau turut memegang jawatan Menteri Kewangan, saudara mara dan sahabat handainya diberi projek-projek besar yang setiap satu bernilai ratusan juta ringgit, menyebabkan Kerajaan BN dihentam hebat oleh pembangkang.

Nampaknya Anwar tidak belajar daripada kesilapan lalu dan meneruskan dasar kronisme dalam membentuk kerajaan bayangan PR, bagi membolehkan beliau dan kroninya terus membolot projek-projek jika PR diberi mandat untuk memerintah negara.

Jika diteliti kabinet bayangan Ketua Pembangkang itu, tidak ada langsung hasrat atau cadangan beliau untuk membela nasib rakyat yang mengundi PR.

Secara jelas ia membuktikan hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, seterusnya membolot projek-projek bagi kepentingan diri beliau, keluarga dan sahabat handai.

 Hal ini patut disedari oleh rakyat dan mereka tidak perlu lagi memberi sokongan atau cuba mengalih selera untuk mengundi PR pada PRU13.