Halaman

05 January 2013

Pemimpin Besut dekati rakyat yang ditimpa bencana

Oleh: Mohammad Ishak 

Sukar untuk diterjemahkan tetapi hakikatnya pemimpin kerajaan semenangnya amat prihatin dan cakna rakyat tanpa mengira tempat dan keadaan.

Begitulah yang diamalkan oleh pemimpin UMNO Besut yang sentiasa mendekati rakyat dan mengambil tahu masalah yang dihadapi mereka terutama yang dilanda banjir dan kejadian ombak besar.

Semalam tiga pemimpin UMN0 itu Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, masing-masing turun kawasan menjengok rakyat.

Amalan itu bukan dilakukan ketika ura-ura pilihan raya umum dikatakan hampir menjelma, tetapi tugas menemui rakyat sudah lama diamalkan pemimpin negeri ini.

Nawi, sepanjang hari berada di kawasan dan mengadakan program bersama mangsa banjir manakala Dr A Rahman sentiasa berada di persisiran pantai memantau kawasan penempatan penduduk yang dilanda ombak besar tahun lalu.

Manakala tanggungjawab selaku Ahli Parlimen yang agak luas dan menyeluruh,Dr Abdullah bersama isteri mengambil peluang melawat dua kawasan DUN iaitu Hulu Besut dan Kuala Besut dengan tujuan sama.

Menariknya, keujungan pemimpin berkenaan disambut mesra oleh penduduk yang sememangnya sayangkan pemimpin mereka. Paling menarik, Dr Abdullah bangga dengan penyokong Pas yang turut hadir dalam majlis yang dihadiri beliau dan turut mendengar ucapan.

“Inilah yang kita kehendaki supaya penyokong Pas dan Umno sentiasa bersatu dan saling bekerjasama untuk membina ummah,” katanya.

Mangsa banjir gembira dapat maklumat Teganukita

Oleh :  Mohammad Ishak


 Mangsa banjir membaca Teganukita

Akhbar rasmi Kerajaan Negeri “Teganukita” mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan penduduk bandar malah mangsa banjir di Hulu Besut, turut gembira kerana dapat menatap akhbar berkenaan.

Selain mendapat pelbagai bantuan yang disampaikan pihak terbabit mangsa banjir juga gembira kerana akhbar berkenaan turut diedarkan kepada mereka.













Sukarelawan mengedar akhbar TerengganuKita

Seramai 250 mangsa banjir yang menghadiri majlis penerimaan sumbangan Yayasan Al Iman di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, semalam turut menerima edaran Teganukita sebagai bahan bacaan.

Pasukan Sukarelawan Banjir Daerah Besut bertindak mengedarkan akhbar Bil 70 terbabit kepada mangsa banjir sempena majlis berkenaan.

Hadir sama Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, YB Nawi Mohamad. Orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan gembira kerana sukarelawan terbabit mengedarkan naskah akhbar berkenaan sebagai bahan bacaan untuk mereka.

 Malah, mangsa banjir terbabit memuji usaha seumpama itu kerana dapat mengetahui pelbagai maklumat dalam media bercetak terbitan Unit Komunikasi Negeri Terngganu (UKOM)

Zizan Raja Lawak duta TMT 2013

Oleh: Suriati Ali 

Menteri Besar bersama angota Exco Kerajaan Negeri merasmikan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013
Kerajaan negeri melantik Zizan Raja Lawak atau Mohd Razizan Abdul Razak sebagai duta Tahun Melawat Terenganu (TMT) 2013 bagi mempromosi dan memperkenalkan negeri ini kepada pelancong luar Terengganu secara berkesan.



 Langkah itu dianggap bertepatan kerana Zizan yang juga anak jati Dungun, Terengganu dijangka mampu memikul tugas dengan cara tersendiri, termasuk mempromosi loghat Terengganu kepada masyarakat umum.

 Beliau merupakan anak bongsu daripada dua beradik pernah merangkul naib juara Raja Lawak musim pertama dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata TMT 2013 akan menjadi pemangkin kepada Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun depan. Pengalaman kita melancarkan TMT 2008, memberi banyak kelebihan untuk menarik pelancong mengunjungi ke Negeri Cantik Budaya Menarik itu.

 "Dengan keunikan Terengganu yang mempunyai beraneka destinasi menarik seperti pulau, pantai, air terjun, tasik dan lain-lain yang menjadi buruan pelancong, sudah pasti sasaran kita untuk menarik empat juta peloancong ke Terenggnau akan tercapai," katanya.

 Beliau berkata demikian ketika melancarkan TMT 2013 di pekarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, isteri Menteri Besar To' Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Dato' Ahmad kemudiannya memakaikan jaket TMT 2013 kepada Zizan sebagai tanda simbolik pelantikan duta.

 Pada masa sama, Menteri besar turut melancarkan pasukan berkuda Tindakan Cemas Malaysia Cawangan Negeri Terengganu setelah ia ditubuhkan bulan lepas.

Pasukan berkuda yang terdiri daripada lima pegawai dan 20 anggota berkuda berunifom ditubuhkan bagi menjayakan visi TMT 2013 dan ia akan memberi khidmat di Pantai Batu Buruk pada setiap hujung minggu.

 Manakala 100 orang penggiat pelancongan negeri itu telah mengadakan bacaan ikrar di hadapan Ahmad bagi membantu kerajaan menjayakan TMT 2013 dengan cemerlang.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, sektor pelancongan yang akan menjadi tulang belakang ekonomi Terengganu pada masa depan menjadi lebih menarik apabila Tasik Kenyir yang akan dijadikan Tasik Bebas Cukai akan dibuka pada Ogos tahun depan.

 "Kita harap dengan pembukaan tasik bebas cukai berkenaan, kedatangan pelancong ke negeri ini akan bertambah pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 





Usia bukan penghalang cari rezeki halal

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Mencari rezeki dengan menjual hasil tanaman dalam keadaan bersila atas tikar pastinya tidak begitu selesa. Namun, bagi warga emas yang berniaga di Hari Giliran (pasar pagi) Kuala Berang, semua itu bukan persoalan utama bagi mereka.

Sebaliknya, kepuasan melebihi segalanya kerana ada peniaga warga emas ini berniaga bukan hanya untuk mencari rezeki tetapi sekadar melengkapi rutin hidup mereka kerana sudah lama melakukannya.

Rata-rata peniaga warga emas ini mengakui selain mencari rezeki mereka berniaga hanya untuk mengisi masa lapang kerana jika tidak berniaga pada setiap Rabu dan Sabtu, hidup mereka terasa tidak lengkap.

Peniaga, Tuan Maznah Tuan Baharu, 72, dari Kampung Kuala Pueh berkata, dia sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang itu sejak hampir 20 tahun lalu dan itulah rutin kehidupan yang kini ia bagaikan nadi serta sebati dengan dirinya.

 “Memang diakui, berniaga sambil duduk beralaskan tikar tidak selesa tetapi ia tidak menghalang makcik mencari rezeki bagi memenuhi kepuasan diri kerana sudah sekian lama berniaga di sini.

“Malah, jika tidak datang berniaga pada Rabu dan Sabtu, kehidupan hari itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena,” kata nenek kepada 15 cucu ini.

Tuan Maznah berkata, jika dia tidak berniaga, ia umpama makan nasi tiada budu. Malah, jika tiada aral, dia akan tetap datang bagi menjual hasil tanaman.

“Biasanya makcik akan menjual pelbagai hasil tanaman yang diusahakan sendiri seperti kacang tanah, jagung ataupun pisang.Walaupun pendapatan jualan tidak seberapa tetapi makcik puas, daripada duduk di rumah sekurang-kurangnya dapatlah juga duit,” katanya.

Ia turut dikongsi Mek Long Salleh, 65, dari Kampung Sekayu yang sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang kira-kira lebih 10 tahun lalu dengan menjual hasil tanaman dari kebunnya yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar.

“Hasil tanaman makcik jual tidak tentu, kalau ada jagung makcik bawa jagung. Namun, biasanya ada orang yang datang hantar pisang untuk makcik jual.

Lebih penting, setiap Rabu dan Sabtu, makcik dapat berniaga di sini. “Jika tidak dapat berbuat demikian hari makcik rasa kekurangan kerana itulah makcik tetap datang berniaga. Malah, selagi diizinkan-Nya, makcik akan terus berniaga,” katanya.


Wanita UMNO terima siapa saja calon

Oleh: Mastura Jamaluddin 

 “Terima siapa sahaja calon dan jangan jadikannya halangan kerana yang lebih penting ialah memastikan kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN),” demikian kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli pergerakan itu menerima dengan seadanya sesiapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana individu berkenaan mewakili parti (BN) bukannya perseorangan.

“Barisan Wanita Umno Parlimen Hulu Terengganu kini berjumlah kira-kira 2,000 orang yang telah pun bersiap-sedia berjuang dan berperang menghadapi sebarang kemungkinan untuk PRU ke-13 nanti.

 “Sehubungan itu, diharapkan Wanita Umno meneruskan semangat juang sebagaimana sekarang, walaupun siapa sahaja calon dipilih bertanding atas tiket BN kelak, kerana misi utama perjuangan adalah memastikan kita terus memenangi tiga kerusi DUN dan Parlimen serta merampas DUN Manir," katanya.

Menurutnya, UMNO perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kerusi Dun Manir dapat dirampas, selepas puluhan tahun berada di tangan pembangkang. Ini adalah kerana tiada pembangunan dapat dilihat dilakukan mereka selama ini

“Tidak kisah dengan pelbagai tanggapan serta panggilan umum kepada Wanita Umno sama ada makcik atau tok cik, yang penting kita terus berjuang untuk agama dan bangsa serta negara. Malah, wanita terbukti menjadi tulang belakang kejayaan negara dalam pelbagai sektor,” katanya.

 

04 January 2013

Seperti bermimpi terima tetamu isteri PM

Oleh; Esah Abdullah

Penduduk di Taman Desa Damai dan Taman Desa Darul Iman Gong Badak melalui detik gembira apabila dikunjungi isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor serta menyampaikan sumbangan wang ehsan RM500 setiap keluarga hari ini.

Datin Paduka Seri Rosmah Mansur  dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud bersama-sama bergotong-royong membersihkan lumpur di salah sebuah rumah manngsa banjir di Taman Desa tanjung Damai.
Seorang penduduk Encik Mustafa Husin adalah antara 77 keluarga dari taman berkenaan yang terpaksa bermalam di pusat perpindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak selama empat hari. 

“Saya dan keluarga seperti bermimpi menerima tetamu isteri Perdana Menteri, orang yang sangat dihormati dan dikagumi diseluruh Negara,”.

“Datin Paduka Seri Rosmah seorang yang sangat merendah diri dan berhemah, saya dan isteri sangat terharu dan seperti bermimpi wanita nombor satu Negara telah bergotong royong membersihkan rumah ini bersama pemimpin negeri yang lain,” katanya.

Encik Mustafa yang tinggal berlima bersama isteri dan tiga orang anak mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri yang sangat mengambil berat masalah rakyat yang ditimpa musibah.



Ketibaan Datin Paduka Seri Rosmah disambut oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, yang Dipertua PPPM Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Timbalan YDP PPPM Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; YDP PPPM Kedah Dato’ Seri DiRaja Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'azam Shah dan isteri Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.



Kenamaan lain yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan arisan neegeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu , Encik Mohd Sarif Hasan; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Encik Zuhaimi Omar dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Datin Paduka Seri Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) ke negeri ini untuk menyertai program gotong royong membersih kediaman mangsa yang dilanda banjir baru-baru ini.



Seramai 500 orang sukarelawan PPPM cawangan Terengganu, sukarelawan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Institut Latihan Perguruan (IPG) Dato’ Razali Ismail, Bomba dan Penyelamat serta penduduk setempat.

 









LENSA UKOM

 SEKITAR LAWATAN DATIN SERI PADUKA ROSMAH MANSUR KE PROGRAM GOTONG ROYONG MEMBERSIHKAN RUMAH MANGSA BANJIR DI TAMAN DESA TANJUNG DAMAI DAN TAMAN DESA DARUL IMAN, PARLIMEN KUALA NERUS












>Mangsa banjir di Kampung Padang Bual dapat sumbangan


DR Abdullah menyampaikan sumbangan periok elektrik kepada mangsa banjir 

Oleh: Mohammad Ishak 

Walaupun berhadapan dengan musibah tetapi mangsa banjir di Kampung Badang Bual,Hulu Besut amat bertuah kerana kerap mendapat perhatian pelbagai pihak yang tanpil member pelbagai bantuan selepas mereka menjadi mangsa air bah.

Hari ini sebuah pertubuhan kebajikian Yayasan Al Iman yang berpusat di Kuala Lumpur mengadakan pertemuan dengan mangsa banjir dan mengagihkan sumbangan periok elektrik untuk kegunaan mereka.

Seramai 250 mangsa banjir yang terbabit dengan bencana itu minggu lalu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Masjid Kampung Padang Bual itu amat bermakna apabila penyokong Pas yang turut dilanda banjir hadir sama dalam majlis berkenaan.

Semangat setia kawasan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung terbabit ketika semua mereka dilanda bencana patut dicontohi kerana ketika ini mereka melupakan seketika fahaman poltik masing-masing.

Malah semangat perpaduan yang ditunjukkan itu mendapat penghargaan Datuk Seri Dr Abdullah kerana mereka sama-sama berkongsi kepahitan ketika menghadapi banjir dan sepakat hadir untuk menerima sumbangan daripada yayasan berkenaan.

Sebelum ini mereka juga diberi bantuan oleh Pemuda Pas Pusat,Umno Bahagian Besut dan pelbagai pertubuhan lain yang bersimpati dengan nasib mereka yang ditimpa bencana terbabit.

Dr Abdullah berharap, semangat seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan dating tanpa mengira ideologi poltik sebaliknya bersatu dalam menghadapi masalah.

YT taja 3,700 pelajat ke IPT dalam dan luar negara

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) kini sedang menaja lebih 3,700 orang pelajar di universiti-universiti dalam dan luar negara.

 Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof berkata, daripada jumlah tersebut seramai 168 orang pelajar sedang mengikuti bidang perubatan dan pergigian di Mesir dan 57 orang lagi di Indonesia.

“Pada masa yang sama penghantaran penuntut dalam bidang pengajian Islam diteruskan dan sehingga ini seramai 115 orang pelajar kita juga sedang mengikuti pengajian Islam di universiti di Asia Barat,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, sehingga ini juga terdapat 48 pelajar dari negeri ini sedang menuntut di universiti-universiti terbaik di England dan 24 orang lagi sedang menduduki A-Level.

 “Hasil kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dengan universiti-universiti di Indonesia, Mesir, Jordan, Rusia, Moscow membuka peluang lebih ramai pelajar kita menuntut di negara terbabit,” katanya.

Katanya, YT menandatangai MoU dengan Moscow Medical Academy (MMA) dan Volgograd Medical State Universiti (VMSU) di Rusia pada Mei 2009 dan YT telah menghantar 50 pelajar ke MMA (2009) dan ke VMSU (2010).

Menurutnya melalui kerjasama dengan Asia Pacific Flight Training Academy (APFT) dan Malaysia Airlines Systems (MAS) juga seramai 95 anak tempatan sedang mengikuti kursus juruterbang di syarikat berkenaan sejak pengambilan pertama pada Ogos 2009 hingga 2012.

 “ MAS dan APFT menerima 20 orang pelajar kita setiap tahun sejak Ogos 2009 untuk mengikuti kursus sebagai juruterbang dan pada masa sama mereka bersetuju melatih 10 pelajar mengikuti kursus jurutera dan 40 orang kursus juruteknik penerbangan,” katanya.

 

JKKK Daerah Hulu Terengganu diktiraf terbaik

Oleh: Mastura Jamaludin 

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Hulu Terengganu pada hari ini telah diraikan dan diberikan penghargaan serta pengiktirafan sewajarnya oleh Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT).

Majlis yang dirasmikan YBM Dato’Haji Tengku Putera Tengku Awang, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu menyaksikan 122 buah JKKK di berikan pelbagai anugerah di atas jasa mereka sebagai agen kerajaan di peringkat akar umbi.

Program kali kedua yang dianjurkan oleh PDHT di bawah pentadbiran Pegawai Daerah, Dato’ Wan Mohd Ibrahim, mendapat sambutan walaupun pada waktu itu daerah Hulu Terengganu mengalami banjir gelombang kedua.

“Saya cukup terharu di atas kehadiran malam ini kerana firasat saya sebahagian besar tidak akan hadir pada malam ini kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Kita sepakat untuk mengiktiraf dan memberikan penghargaan di atas usaha JKKK mentadbir kawasan mereka selama memegang jawatan sebagai wakil kerajaan.”

“Untuk memantapkan JKKK, kerajaan memerintah telah meningkatkan elaun kehadiran, tuntutan gotong-royong, tuntutan mesyuarat dan tuntutan kehadiran khas untuk semua kerana usaha mereka perlu diiktiraf.

“Selain itu, pelbagai kursus telah diadakan untuk meningkatkan mutu khidmat JKKK dan apabila pulang, mereka akan memberikan yang terbaik di kampung masing-masing,” kata Dato’ Wan Mohd ketika menyampaikan ucapan aluan.

Wan Mohd juga mengucapkan tahniah kerana atas komitmen semua 122 buah JKKK sempena keberangkatan Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu serta program mengemping yang dijalankan membuatkan daerah Hulu Terengganu menjadi daerah terbaik sempena lawatan baginda berdua.

Beliau memaklumkan juga pada majlis itu, penyampaian ‘pen drive’ dan fail pentadbiran akan di sampaikan selain daripada bantuan pentadbiran RM5,000 kepada 122 buah JKKK. Ahli Parlimen Hulu Terengganu , YB Haji Mohd Nor Othman turut menyumbangkan projektor dan skrin layar untuk JKKK bagi kegunaan program di peringkat kampung .


Buang sikap buruk, elak tanggapan negatif pelancong

Oleh: Suriati Ali

 Pemandu teksi, pengusaha restoran dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung dengan pelancong perlu menghentikan tabiat gemar mengenakan bayaran melampau kepada golongan itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tabiat buruk ini bukan hanya boleh merugikan dan mencemar pemilik teksi atau pengusaha makanan itu sendiri malah membawa kerugikan besar terhadap industri pelancongan Terengganu.

“Selain itu, ia akan membawa tanggapan negatif dan persepsi buruk pelawat kepada negeri, akhirnya pelawat tidak lagi suka berkunjung ke Terengganu walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri.

 “Maka, timbullan sikap salah menyalah dan tuding menuding yang akhirnya pihak kerajaan juga akan dipersalahkan, kononnya tidak menjalankan usaha untuk menarik pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.

 Beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

 Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.

 

Bantuan pakaian sekolah 2013-Terima kasih MB

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan Negeri Terengganu merupakan kerajaan yang berkebajikan, mengutamakan rakyat dan merancang melahirkan generasi keluarga berdaya saing serta mampu merubah masa depan keluarga bangsa dan negara, sekaligus melahirkan insan yang mendaulatkan Islam.

Ini terbukti melalui dana-dana yang diwujudkan bagi membantu rakyat negeri Terengganu seperti Dana Bantuan Pakaian Sekolah 2013. Ahli Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, hadir menyempurnakan majlis tersebut yang melibatkan 1,323 penerima telah menerima Dana Bantuan Pakaian Sekolah bagi 2,198 kanak-kanak yang bersekolah di kawasan DUN berkenaan.

Dana Bantuan Pakaian Sekolah itu disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk membeli pakaian dan keperluan persekolahan anak-anak.

Beliau berharap semua penerima dana pakaian sekolah ini terus memberi sokongan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar nikmat negeri dapat diagihkan dengan sempurna demi masa depan rakyat Terengganu.

 “Selain hari raya, waktu menjelang sesi persekolahan juga sering merisaukan saya kerana perbelanjaan meningkat kerana banyak kelengkapan perlu disediakan.

"Syukur ada pihak yang sudi membantu.Ini ditambah tragedi banjir yang telah merosakkan semua barang-barang persekolah yang telah dibeli.

 “Perbelanjaan mana-mana ibu bapa meningkat menjelang musim persekolahan baru ini kerana perlu menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Saya juga tidak terkecuali dalam soal ini walaupun kewangan tidak begitu mengizinkan.

“Sumbangan ini pastinya besar maknanya bagi saya sekeluarga. Sekurang-kurangnya, saya boleh gunakan untuk sediakan kelengkapan persekolahan cucu saya yang masing-masing berumur 6 dan 14 tahun. Segala persediaan sebelum ini telah musnah akibat banjir.

“Seperti kanak-kanak lain, mereka juga inginkan kelengkapan baru untuk memulakan sesi persekolahan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada Kerajaan Barisan Nasional Terengganu pimpinan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said yang prihatin dan cakna rakyat," kata Puan Fatimah yang lebih dikenali sebagai Mok Teh ketika ditemui Teganukita selepas majlis dana kelmarin.



Pantai Air Tawar jadi pilihan pengunjung

 Oleh: Suriati Ali

 Setiap kali tiba cuti umum atau persekolahan, kawasan peranginan seperti pulau dan pantai di Terengganu, pasti menjadi pilihan pelancong luar dan pengunjung tempatan untuk membawa keluarga bersiar-siar.

 Tidak ketinggalan, Pantai Air Tawar, Besut yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Jertih, Besut sering menjadi tumpuan orang ramai meluangkan masa bersama keluarga.

 Kadang kala menjadi persinggahan wajib bagi mereka datang secara berkumpulan atau `konvoi’ semata-mata mahu melepaskan penat sambil menikmati bekalan yang di bawa.

 Apabila kembali bertenaga, mereka meneruskan konvoi ke mana-mana destinasi yang ingin di tuju termasuk ke Kelantan atau Perak.

Kemudahan seperti taman permainan, pondok rehat, tapak perkhemahan, tandas, gerai makanan laut dan surau disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pengunjung.

 Bertentangan pantai, tersedia sebuah pentas yang sering menjadi pilihan pelbagai pihak untuk mempersembahkan dikir barat, tarian tradisional, pertunjukkan gendang, nyanyian, wayang kulit dan ucapan tertamu kehormat.

 Bagi mereka yang mementingkan kesihatan pula, trek berjalan kaki dan pelaratan senaman turut disediakan. Langkah itu pasti mengembirakan pengunjung terutama bagi penduduk yang tinggal di luar Terengganu di mana jarang dapat bersiar di pantai sebaliknya hanya mengunjungi taman tema atau pusat membeli belah.

Fiesta Kebudayaan dan Kesenian yang dianjurkan secara tahunan oleh pihak tertentu nyata berbaloi kerana mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke lokasi yang cukup mendamaikan itu.

Jika pertama kali, anda ke sana pasti tidak sesat kerana Pantai Air Tawar itu jelas kelihatan jika melalui jalan utama Kuala Besut menghala ke Kelantan. .

 

03 January 2013

Perkhidmatan urut ibu lepas bersalin di HSNZ dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah

Unit Perubatan Tradisional dan Komplementasi (UPTK) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan baru iaitu amalan perubatan tradisional melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.

 Perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin yang mula dibuka pada awal bulan lalu itu dikendalikan empat orang pengamal terlatih yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan tiga petugas HSNZ.

Ketua UPTK, Cik Nor Syukriyah berkata unit ini mempunyai empat bilik rawatan termasuk untuk perkhidmatan urut tradisional melayu dan akupuntur bagi lelaki dan wanita.

Katanya, perkhidmatan akupuntur menerima antara 15 hingga 17 orang sehari manakala urutan tradisional untuk ibu bersalin agak terhad iaitu lapan slot sehari kerana setiap urutan memakan masa satu jam dan operasi UPTK dijalankan waktu bekerja sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kriteria pelanggan unit perubatan tradisional ini adalah angin ahmar dan pesakit kronik melebihi tiga bulan manakala ‘kontraindikasi ‘ bagi urutan tradisional melayu ialah jangkitan akut, luka, kepatahan tulang, otot-otot flassid, osteoporosis, skin graft, skin atrophic, inflamed muscle disease dan deep vein thrombosis.

Manakala ‘kontraindikasi’ bagi perkhidmatan akupuntur ialah kes kecemasan perubatan dan pembedahan semasa. Mereka yang boleh menjadi pelangan ialah yang dalam rawatan susulan klinik pakar atau jabatan pesakit luar, klinik kesihatan, hospital daerah yang mempunyai penyakit kronik dan angin ahmar.

Pelanggan yang ingin mendapat rawatan di sini juga perlu mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan dari klinik pakar atau jabatan pesakit luas, klinik kesihatan dan hospital daerah dan temujanji akan diberi.

Perkhidmatan perubatan tradisional ini sentiasa memastikan keselamatan dan kualiti di samping meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelanggan ke arah rawatan tradisional dan komplementari yang berkesan.

Seorang pengamal urutan tradisional melayu Norzulia Ezzati Zuhaimi menyatakan minat setelah mengikuti kursus urutan dan mendapat sijil.

“Saya hantar resume suka-suka saja kerana saranan ibu yang bertugas di HSNZ ini tetapi tidak sangka diterima ,” katanya ketika ditemui di bilik rawatan UPTK HSNZ.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh hubungi Unit PTK di talian 09-6212121 sambungan 2394 atau datang sendiri ke unit tersebut semasa waktu bekerja.

 



Pemandu kereta sewa dapat pakaian seragam baru

Menteri Besar menyarung seragam
baru kepada pemandu teksi.
 Oleh: Suriati Ali 

 Pemberian pakaian seragam kepada 1,192 pemandu kereta sewa di Terengganu nyata mengembirakan dan mencetus semangat golongan itu untuk terus meningkatkan imej pengangkutan awam.

Mereka menganggap pengagihan itu mempamerkan sikap tidak jemu dan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu pengusaha teksi menambah pendapatan.

Pengerusi Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Encik Abu Bakar, 64, berkata jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa cakna terhadap kebajikan pemandu teksi.

 Katanya, dia bersama ahli lain akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik, di samping mengekalkan imej bersih dan sopan santun supaya pelancong luar tidak serik untuk datang ke Terengganu.

Pemandu teksi meletakkan pelekat promosi Tahun Melawat Terengganu 2013 pada kenderaannya.
Pengerusi Kereta Sewa Besut, Encik Mansor Mat Ali, 60 berkata apa yang diterima itu termasuk pemberian bantuan kewangan RM10,000 untuk meningkatkan imej kenderaan, baru-baru ini sangat dihargai.

“Saya berharap program seumpama ini diteruskan kerana untuk kami membelinya agak sukar kerana pendapatan harian yang diperoleh kurang memuaskan iaitu hanya RM30 saja sehari.

“Tindakan kerajaan negeri mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, nyata melegakan golongan pemandu teksi kerana sudah tentu jumlah pelancong ke Terengganu akan meningkat.

“Apabila ramai pelancong datang untuk ke mana-mana destinasi, termasuk pulau, sudah tentu pendapatan pelbagai pihak termasuk peniaga dan pengusaha teksi akan turut meningkat,” katanya. .


Pemandu teksi perlu jaga imej Terengganu

Menteri Besar bermesra dengan pemandu-pemandu teksi.
Oleh: Suriati Ali

 Pemandu kereta sewa (teksi) di Terengganu diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa.

 Pendekatan itu bukan saja mampu menaikkan imej negeri di mata orang luar malah mempertingkatkan mutu perkhimatan pengangkutan awam.

 Menteri Besar, Dato’ Sei Haji Ahmad Said, berkata selaku duta kecil Terenganu yang membawa penumpang terutama pelancong luar Terengganu, peningkatan layanan pelangan dan perkhidmatan wajar diutamakan.

Pemandu-pemandu teksi dari seluruh Terengganu mendengar amanat daripada Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, jika membawa penumpang jangan hanya memikirkan duit tambang dan membawa pelancong ke destinasi yang ingin dituju saja, pada masa sama perlu memberi pengalaman menyeronokkan.

 “Apa yang dipelajari serta latihan yang diberikan dalam siri program peningkatan imej kereta sewa harus dipratikkan.

 “Perlu difahami setiap pengguna atau pelanggan, mereka akan menilai pelbagai aspek sama ada berkaitan sikap pemandu dan pengalaman yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Uniform dan `Kit’ Kepada Pengusaha Kereta Sewa, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.

 

Isteri PM sertai gotong royong bersih rumah kediaman mangsa banjir

Oleh; Esah Abdullah

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor akan menyertai gotong royong membersih rumah mangsa banjir di Taman Desa Damai, Kampung Gong Badak Kuala Terengganu esok (4 Disember).

Yang Dipertua PPPM Cawangan Terengganu, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, kehadiran Datin Paduka Seri Rosmah adalah untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat persatuan membantu mangsa banjir di negeri ini.

Isteri Perdana Menteri itu akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud jam 11 pagi dan terus ke Taman Desa Damai bertemu penduduk yang baru pulang ke rumah masing-masing setelah tinggal di penempatan banjir.

Terdapat 60 unit rumah di taman berkenaan yang terlibat banjir baru-baru ini dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

“Seramai 500 orang terdiri daripada ahli-ahli PPPM Terengganu serta penduduk tempatan akan bergotong royong membersih rumah kediaman yang baru dilanda banjir,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 109 keluarga mangsa banjir di kawasan berkenaan dan setiap keluarga akan menerima RM500.

Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya akan berlepas ke Kota Bharu, Kelantan jam 1.30 petang.

 

Teganukita 71


Swasta banyak bantu pasukan bola sepak Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri gembira dengan penyertaan sektor swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu menaja pasukan Terengganu dan T-Team untuk beraksi dalam Liga Super musim ini.

Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima replika chek sebagai tanda sumbangan daripada EPIC  untuk pasukan bolasepak  T-Team
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata penyertaan sektor swasta amat diperlukan bagi memajukan bidang sukan di negeri ini kerana ia dapat membantu beban kewangan kerajaan negeri.

“Pada tahun ini banyak syarikat swasta tampil memberi sumbangan dengan menjadi penaja pasukan Terengganu dan T-Team. Saya lihat ini merupakan ‘trend’ baru yang patut menjadi contoh syarikat-syarikat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan Terengganu dan T-Team di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh.

Pada majlis itu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada pasukan T-Team.

YB Haji Rozi berharap dengan sumbangan yang agak besar dari sektor swasta, prestasi kedua-dua pasukan akan meningkat dan ia berupaya untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pada tahun 2012 zaman bola sepak di Terengganu agak suram kerana kita tidak menang apa-apa piala. Pada tahun 2011 bola sepak kita agak ceria sedikit kerana kita menang piala,” katanya.







Pasukan bola sepak Terengganu ditagih raih piala

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan negeri sedia memberi pelbagai bantuan di segi kewangan dan teknikal kepada dua pasukan bolasepak dari negeri ini – pasukan ‘Penyu’ dan T-Team - yang bakal bertarung dalam Liga Super musim ini,bagi meningkatkan prestasi pasukan berkenaan. Sebagai balasan, setiap pasukan berkenaan ditagih merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini bagi mengembalikan kecemerlangan bola sepak negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Bin Said menyaksikan majlis menandatangani  kontrak pemain  pasukan T-Team
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar bagi membangunkan kedua-dua pasukan berkenaan dan berharap pelaburan itu mendapat balasan yang setimpal dengan memenangi piala sama ada Piala FA, Piala Malaysia atau juara liga.

“Terengganu kini cemerlang di bidang sukan dan pendidikan di mana ramai ibu bapa yang berada di luar Terengganu berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan Terengganu dan T-Team di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh.

Menteri Besar berkata, sepanjang tahun 2012 pasukan sukan negeri ini mencipta banyak sejarah dengan pasukan hoki memenangi Piala Tun Abdul Razak buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, pasukan hoki lelaki dan wanita muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) dan pasukan takraw johan Piala Emas Khir Johari.

“Saya mahu pada musim ini pasukan Terengganu dan T-Team diurus dengan sempurna dan meraih kemenangan setiap kali beraksi,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, beliau berharapa semua pemain pasukan Terengganu dan T-Team menjaga disiplin mereka dan meningkatkan kualiti peramainan bagi merealisasikan impian untuk menang piala musim ini.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM15,000 bagi setiap kelab penyokong pasukan Terengganu dan T-Team bagi menjayakan aktiviti kelab berkenaan musim ini.