Halaman

24 January 2013

3,000 pengakap sertai Perkhemahan Maulidur Rasul

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kira-kira 3,000 pengakap dari seluruh negara akan menyertai Perkhemahan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, selama tiga hari mulai 1 Februari ini.

Program itu yang julung kali diadakan di negara ini bertujuan mendekatkan ahli-ahli Pengakap dengan program bercorak keagamaan serta menyemarakkan perayaan menyambut ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya berbesar hati untuk menjadi tuan rumah program ini dan sedia menghulurkan pelbagai bantuan bagi menjayakannya.

“Program ini diadakan bagi memupuk komitmen yang tinggi di kalangan pemimpin dan ahli pengakap dalam menyokong sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mendorong kepada perpaduan ummah.

“Pada masa yang sama ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka betapa perlunya kita menyokong usaha membentuk kemantapan kerohanian dan mentaati rasul dan pemimpin,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pengisian perkhemahan tersebut termasuk pengurusan jenazah, amalan selawat, aktiviti penyembelihan dan riadah mengikut sunnah akan dijalankan sepanjang program tersebut.

Beliau berkata, kemuncak bagi program berkenaan ialah Ceramah Maulidur Rasul pada sebelah malam 2 Februari di mana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan untuk berangkat ke majlis berkenaan.

Pada sebelah pagi hari berkenaan semua peserta perkhemahan akan menyertai program perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang melibatkan laluan sekitar tapak perkhemahan.