Halaman

31 January 2013

604 calon UPSR ikuti program motivasi bersama Dr Tengku Asmadi

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 604 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengikuti program motivasi sebagai persediaan menghadapi UPSR di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, hari ini.


Program yang melibatkan murid Tahun Enam dari lima buah sekolah rendah di DUN terbabit dikendalikan oleh perunding motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan anak kelahiran Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman hadir menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Ketika berucap merasmikan program tersebut, Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, antara matlamat utama program tersebut adalah untuk meningkatkan semangat dan motivasi supaya murid-murid di DUN Seberang Takir membuat persiapan rapi bagi menghadapi UPSR kelak.


"Kita jemput Dr Tengku Asmadi memberi ceramah untuk dijadikan contoh kepada murid-murid supaya mereka memasang impian untuk menjadi seorang yang berjaya seperti beliau.

Selain itu, program ini juga dapat menambah keyakinan kepada murid-murid untuk menghadapi peperiksaan supaya lebih ramai yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas program tersebut.

Katanya, beliau begitu bangga kerana ibu bapa memberikan kerjasama yang baik dan berharap dengan adanya program motivasi sebegitu ditambah dengan kerjasama yang ditunjukkan ibu bapa dan guru lebih ramai anak-anak di DUN terbabit memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR.

Seramai 122 murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir; Sekolah Kebangsaan Seberang Takir (83); Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (107); Sekolah Kebangsaan Tok Jembal (131); dan Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang (161) menyertai program motivasi tersebut.