Halaman

01 January 2013

Belanja RM4j naik taraf lampu limpah stadium

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi menyelesaikan masalah lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dalam tempoh terdekat ini supaya perlawanan bola sepak Liga Malaysia dapat diadakan pada sebelah malam.

Bagaimanapun dalam tempoh tiga bulan ini, semua perlawanan mungkin berlangsung pada sebelah petang bagi memastikan kerja membaiki dan menaiktaraf lampu stadium itu dilaksanakan dengan sempurna serta mengelak daripada timbul kerja tambahan setiap kali musim baru bola sepak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan itu bagi menaik taraf lampu limpah termasuk menggantikan keempat-empat tiang lampu penjuru padang supaya pencahayaan lampu dapat memenuhi piawaian yang digariskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kontraktor memerlukan masa tiga bulan untuk menyiapkan kerja membaik pulih lampu di stadium itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan pramusim Liga Malaysia di antara pasukan Terengganu dengan T-Team di SSINS, malam kelmarin.