Halaman

19 January 2013

BN mampu ‘tawan’ Parlimen Marang

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman 

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 daripada parti Pas jika semua pihak bekerja gigih bagi ‘menawan’ kerusi berkenaan.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar berkata, berdasarkan senario politik semasa, beliau yakin BN mampu mengulangi saat manis memenangi kerusi tersebut pada PRU 13.

“Justeru itu, pihak kami sedang merangka pelbagai strategi dan program bagi merealisasikan impian banyak pihak untuk ‘menawan’ semula kerusi Parlimen Marang,” katanya ketika ditemui di pejabat Perhubungan Umno Negeri, semalam.

Beliau berkata, antara program yang dicadang di Parlimen Marang dalam masa yang terdekat ialah membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menyampaikan amanat kepada semua lapisan masyarakat di kawasan tersebut, pada 23 Februari depan.

Katanya, majlis anjuran panel Perundingan Pertbubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri itu dijangka dihadiri 3,000 orang mewakili jabatan kerajaan, pertubuhan kebajikan dan NGO di kawasan berkenaan.

“Saya percaya dengan sentuhan Dr Mahathir yang terkenal dengan ucapan bernas dan penuh fakta itu, hasrat menawan kerusi Marang pada pilihan raya umum akan datang menjadi lebih mudah.

“Kita mahu memberi peluang yang seluas-luas kepada Dr Mahathir untuk membicarakan mengenai kepentingan BN memerintah negara ini pada PRU 13,” katanya.

Dato’ Haji ’Abdul Rahman sendiri pernah menang kerusi Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 1986 di mana beliau dilantik menjadi timbalan menteri.

Keupayaannya menewaskan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 1986 menyebabkan beliau diberi gelaran “giant killer” dan dilantik sebagai timbalan menteri.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, dengan kemenangannya sebanyak dua kali di kawasan itu, tidak mustahil calon BN mampu mengulanginya pada PRU 13 nanti.