Halaman

09 January 2013

Buang masa sokong Pas - bekas pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Bekas pemimpin Pas menganggap perjuangan beliau kira-kira 40 tahun dalam parti itu sia-sia dan membazir masa sahaja.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut, Jusoh Idris, berkata beliau tidak melihat sebarang faedah diperolehi hasil perjuangannya dalam parti tersebut yang nyata tidak ada pendirian.

“Sia-sia saja berjuang dalam Pas kerana tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan bagi kepentingan umat Islam. Tambahan pula kini perjuangan Pas makin bercelaru apabila mereka bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, dulu Pas memperjuangkan Islam dengan moto “Membangun Bersama Islam” dan itulah yang dicanang pemimpin Pas kepada ahli dan penyokong parti tersebut.

“Kini timbul pula negara berkebajikan, apa benda ni. Apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Pas,” ujar beliau.

Justeru itu, katanya, beliau tidak kesal meninggalkan parti itu dan kini menyokong perjuangan Umno.

“Saya yakin lebih ramai ahli Pas di Besut akan keluar Pas dan masuk Umno sebelum pilihan raya ini kerana mereka sudah bosan dengan perjuangan Pas,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan parti itu banyak merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam.

“Saya minta pemimpin Pas tarik balik Amanat Haji Hadi demi perpaduan umat Islam dan Melayu dan demi menegakkan kesucian agama Islam,” ujar beliau.