Halaman

29 January 2013

Cikgu Zainon mahu semuka dengan Presiden Pas

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Penulis buku `Kafirkah Aku?’, Zainon Ismail bersedia untuk berada di satu pentas dengan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikan isu perpecahan di kalangan umat Islam akibat Amanat Haji Hadi. 

Zainon Ismail (kiri) bersedia untuk bermuzakarah dengan Haji Hadi bagi menyelesaikan isu perpecahan umat Islam akibat Amanat Haji Hadi.
“Saya merasakan isu Amanat Haji Hadi ini tidak akan selesai selagi mana tiada pihak-pihak tertentu berani berdepan dengannya (Abdul Hadi) untuk muzakarah, berbincang atau berdebat bagi menyelesaikan isu yang ada kaitan dengan akidah ummah itu.

“Atas kesedaran ini, saya rasa saya bertanggungjawab untuk bersemuka dengan Haji Hadi atas satu pentas yang sama, di mana-mana sahaja, bila-bila masa sahaja yang dianjurkan oleh sesiapa sahaja atas isu Amanat Haji Hadi dan juga buku saya, Kafirkah Aku,” katanya di sidang akhbar sempena Program Diskusi Dilema dan perjuangan Islam di Malaysia, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Lebih 3,000 peserta di kalangan imam, bilal dan guru Kafa seluruh Terengganu menyertai program diskusi anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bersama Yayasan Islam Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Zainon yang lebih dikenali dengan Cikgu Zainon menegaskan beliau melakukan sedemikian bukan atas kepentingan dan agenda politik, tetapi bertujuan untuk memulihkan perpecahan di kalangan umat Islam yang sudah terpesong akidah mereka akibat Amanat Hadi itu.

“Saya sebut di sini bahawa ini bukanlah Isu politik, tetapi isu ummah, ke arah menyatu-padukan semula orang Islam di Malaysia yang berpecah atas isu parti,” katanya.

Beliau juga mahu supaya pertemuan itu dapat diatur dalam waktu terdekat dengan mengambil kira persetujuan presiden parti agar masalah yang serius melanda umat Islam itu dapat diatasi segera.

 “Kalau boleh saya minta buku Amanat Haji Hadi, cetakan ulangan ini dibuat dan diterbitkan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat, sekiranya Dewan Pemuda Pas Pusat bersetuju, mereka boleh menganjurkan program bersemuka antara saya dan juga Haji Hadi.

 “Terpulang kepada pihak berkenaan, siapa yang rasa perlu anjur dan kemampuan Haji Hadi bersedia atau tidak, tarikh itu mereka boleh tentukan bila. Kalau boleh saya minta dalam tempoh terdekat, sebab kita tidak mahu benda ini (isu amanat) berterusan sampai bila-bila,” katanya.