Halaman

07 January 2013

Doktor muslimah matlamat akhir Fatin

Oleh; Esah Abdullah

Cita-cita untuk menjadi seorang doktor muslimah semakin hampir apabila terpilih mengikuti jurusan perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ibu dan bapa kepada Fatin Hamimi Abdullah menerima anugerah emas pelajar cemerlang bagi pihak anak mereka yang telah berada di Mesir.
Pelajar pintar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq Kuala Besut, Fatin Hamimi Abdullah 19, telah pun berangkat ke Bumi Ambia itu pada September lalu (2012).

Penerima Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) 2012 itu adalah anak pasangan guru Encik Abdullah Ya dan Puan Wan Norshimah Wan Ahmad serta anak kedua daripada enam beradik .

Kecemerlangannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2011) iaitu semua A+ dalam 11 matapelajaran Fizik, Kimia,Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah dan Bahasa Arab Tinggi melayakkan beliau memburu cita-cita bergelar doktor muslimah suatu hari nanti.

Seorang lagi penerima pingat emas iaitu Muhammad Firdaus Hamzah 19 (gambar), yang cemerlang sejak peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperolehi 5A serta 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 11A dalam SPM 2011.

Beliau merupakan anak kebanggaan pasangan Encik Hamzah Kammapu yang mengendalikan perniagaan hartanah dan Puan Che Ruhana Mustafa pengusaha ‘homestay’ serta anak keempat daripada enam beradik.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz itu turut cemerlang dalam hafazan apabila berjaya menghafaz 30 juzuk dengan memperolehi pangkat Mumtaz dalam Ujian Syahadah Al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Bercita-cita menjadi seorang saintis suatu hari nanti kini Muhammad Firdaus sedang mengikuti program Foundation di University of Nottingham Kampus Malaysia di bawah tajaan YT untuk dihantar menyambung pelajaran ke universiti terbaik dunia.