Halaman

14 January 2013

Gertak anjur perhimpunan isu kalimah Allah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) Terengganu akan mengadakan perhimpunan aman secara besar-besaran di depan Wisma Darul Iman Rabu ini (16 Januari), bagi mendesak kerajaan agar menangani isu penggunaan kalimah Allah sebaik mungkin supaya ia tidak disalahgunakan untuk tujuan politik.

Setiausaha Gertak, Encik Azmi Salleh, berkata pihaknya akan menghimpunkan ahli-ahli daripada lebih 30 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negeri ini bagi menyertai perhimpunan tersebut yang dirancang selama satu jam bermula 12 tengahari hingga 1 petang.

“Selepas perhimpunan tersebut, pihak kami akan menyerahkan tiga memorandum kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berhubung penggunaan kalimah Allah untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tiga memorandum tersebut ditujukan kepada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Raja-Raja Melayu yang meminta institusi berkenaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah untuk kepentingan mereka.

“Pihak kami mahuketiga-tiga institusi berkenaan menangani isu penggunan kalimah Allah sebaik mungkin supaya ia tidak disalahgunakan oleh mereka yang berniat jahat mencemarkan agama Islam yang suci,” katanya.

Encik Azmi berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan daripada pejabat Menteri Besar yang dijangka menerima ketiga-tiga memorandum berkenaan selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di Wisma Darul Iman, esok.

Beliau berkata, dianggarkan 3,000 wakil NGO dan orang ramai akan menyertai perhimpunan itu bagi menunjukkan kesungguhana mereka mempertahankan kesucian kalimah Allah yang hanya boleh digunakan oleh agama Islam.

“Kita harap semua NGO akan menyertai perhimpunan ini yang tidak dipengaruhi sentimen mana-mana pertubuhan politik,’ tegas beliau.