Halaman

18 January 2013

Jumlah pelancong menginap di Terengganu meningkat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Jumlah pelancong yang menginap di Terengganu semakin meningkat dari semasa ke semasa di mana keadaan ini amat baik bagi pengusaha hotel dan chalet di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, berkata data yang diperolehi daripada Persatuan Hotel Malaysia menunjukkan sejak awal 2012 hingga Ogos lalu, purata penginapan di negeri ini ialah 53.60 peratus.

“Sementara sebanyak 48.22 peratus sahaja purata penginapan direkodkan sepanjang tahun 2011,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kadar penginapan tersebut amat baik dan pihaknya yakin angka itu akan terus meningkat pada tahun ini memandangkan jumlah pelancong juga dijangka bertambah.

Dato’ Haji Abdul Rahin berharap Kempen tahun Melawat Terengganu 2013 yang sedang rancak dijalankan sekarang ini akan memberi impak yang besar kepada industri pelancongan di negeri ini dan juga Malaysia.

“Kesinambungan Kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan 34 acara-acara pelancongan sepanjang tahun ini adalah bertepatan dengan tahun Melawat Malaysia 2014.

“Ini akan membolehkan kerjasama yang lebih jitu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam sama-sama mempromosikan produk dan destinasi pelancongan di negeri Terengganu dan di Malaysia amnya,” tambah beliau.

 

No comments: