Halaman

14 January 2013

Lautan 10,000 penyokong bangkit semangat Titans

Oleh: Aida Abd Rahman

Sokongan padu kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin ternyata menjadi kunci kebangkitan T-Team untuk mengalahkan Kelantan selaku pemegang status juara trebel musim lepas. 



Kejayaan membenam The Red Warriors di gelanggang sendiri dengan jaringan 1- 0 itu sudah cukup memberi motivasi dan menyuntik semangat anak buah Peter James Buttler bagi memungut tiga mata berharga pada perlawanan berikutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Abdul Rashid Jusoh, berkata The Titans kini menanam tekad untuk terus melakar kemenangan menentang finalis Piala Malaysia yang lalu, ATM pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan, selasa ini (15 Januari).

Mengulas perlawanan kelmarin, beliau berkata atas usaha keras dan semangat jitu barisan kejurulatihan, pemain-pemain, pengurusan serta semua pihak yang terlibat terutama para penyokong berjaya menterjemahkan apa yang diidamkan pasukannya terutama memungut tiga mata di laman sendiri .

“Tidak siapa menduga Titans kini memiliki peminat melebihi 10,000 orang. Sejak penubuhannya lima tahun lalu, cuma beberapa ratus sahaja penyokong yang hadir menonton setiap kali pasukan bermain di gelanggang sendiri.

“Bagaimanapun, kini semuanya berubah kerana walaupun tiket sudah habis dijual, peminat masih berlegar di kawasan stadium sehingga sanggup masuk walaupun terpaksa berdiri di tepi pagar untuk menyaksikan aksi pemain baru T-Team," katanya.

Encik Abdul Rasid berkata, kecuali pemain impot, George Boateng dan Caleb Folan, dan bekas pemain Terengganu, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad, tiada pemain ternama ataupun berpengalaman dalam pasukan Titans musim ini.

 Bagaimanapun, katanya  itu semua tidak menghalang peminat bola sepak tempatan untuk datang menyokong T-Team dan kebangkitan itu memberi motivasi kepada pemain muda untuk membalas sokongan peminat dengan mempamerkan persembahan terbaik.

 "Kalau dulu kami tidak merasakan apa kelebihan walaupun bermain di tempat sendiri, kini semuanya sudah bertukar dan pemain kami menjadi lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik untuk penyokong mereka.

“Dalam perlawanan itu, terbukti pemain telah berjaya mengikut skrip yang direncanakan oleh Ketua Jurulatih,     selain dibantu pemain import yang menepati ciri-ciri dikehendaki pasukan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Titans tidak digelar pasukan bintang, anak buahnya akan terus memberi tentangan sengit dan mencabar mana-mana pasukan lawan biarpun penyandang juara berganda pada musim lalu.