Halaman

23 January 2013

MB lawat pesakit barah tulang di HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat adik Muhammad Danial Iskandar Mohd Nazrul,11, yang menderita penyakit barah tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.
Menteri Besar menghulurkan sumbangan peribadi kepada adik Muhammad Danial Iskandar
Beliau begitu bersimpati dengan nasib anak sulung daripada lima orang adik beradik yang menyedari menghidapi penyakit tersebut apabila menerima rawatan di HSNZ, selepas terjatuh ketika menunggang basikal semasa pulang dari sekolah, tujuh bulan yang lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas bagi membiayai penyakit kronik seperti yang dihidap Muhammad Danial Iskandar.

"Masalah yang dihadapi mangsa akan dirujuk kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

"Kepada rakyat negeri ini yang menghadapi masalah penyakit kronik, saya nasihatkan agar segera memberitahu pihak tertentu seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin, ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas melawat Muhammad Danial Iskandar di HSNZ, di sini.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan doktor yang bertauliah daripada berjumpa bomoh bagi memastikan penyakit yang dialami dapat dirawat dengan cara yang betul.