Halaman

03 January 2013

Perkhidmatan urut ibu lepas bersalin di HSNZ dapat sambutan

Oleh; Esah Abdullah

Unit Perubatan Tradisional dan Komplementasi (UPTK) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang memperkenalkan satu lagi perkhidmatan baru iaitu amalan perubatan tradisional melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai.

 Perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin yang mula dibuka pada awal bulan lalu itu dikendalikan empat orang pengamal terlatih yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan tiga petugas HSNZ.

Ketua UPTK, Cik Nor Syukriyah berkata unit ini mempunyai empat bilik rawatan termasuk untuk perkhidmatan urut tradisional melayu dan akupuntur bagi lelaki dan wanita.

Katanya, perkhidmatan akupuntur menerima antara 15 hingga 17 orang sehari manakala urutan tradisional untuk ibu bersalin agak terhad iaitu lapan slot sehari kerana setiap urutan memakan masa satu jam dan operasi UPTK dijalankan waktu bekerja sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kriteria pelanggan unit perubatan tradisional ini adalah angin ahmar dan pesakit kronik melebihi tiga bulan manakala ‘kontraindikasi ‘ bagi urutan tradisional melayu ialah jangkitan akut, luka, kepatahan tulang, otot-otot flassid, osteoporosis, skin graft, skin atrophic, inflamed muscle disease dan deep vein thrombosis.

Manakala ‘kontraindikasi’ bagi perkhidmatan akupuntur ialah kes kecemasan perubatan dan pembedahan semasa. Mereka yang boleh menjadi pelangan ialah yang dalam rawatan susulan klinik pakar atau jabatan pesakit luar, klinik kesihatan, hospital daerah yang mempunyai penyakit kronik dan angin ahmar.

Pelanggan yang ingin mendapat rawatan di sini juga perlu mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan dari klinik pakar atau jabatan pesakit luas, klinik kesihatan dan hospital daerah dan temujanji akan diberi.

Perkhidmatan perubatan tradisional ini sentiasa memastikan keselamatan dan kualiti di samping meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelanggan ke arah rawatan tradisional dan komplementari yang berkesan.

Seorang pengamal urutan tradisional melayu Norzulia Ezzati Zuhaimi menyatakan minat setelah mengikuti kursus urutan dan mendapat sijil.

“Saya hantar resume suka-suka saja kerana saranan ibu yang bertugas di HSNZ ini tetapi tidak sangka diterima ,” katanya ketika ditemui di bilik rawatan UPTK HSNZ.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut boleh hubungi Unit PTK di talian 09-6212121 sambungan 2394 atau datang sendiri ke unit tersebut semasa waktu bekerja.