Halaman

27 January 2013

PPR untuk rakyat miskin

Menteri Besar ketika meninjau
pembinaan rumah rakyat di Hiliran.
Oleh; Esah Abdullah

Lebih 1,000 golongan miskin terutama penduduk setinggan dalam kawasan bandaraya Kuala Terengganu mendapat kediaman yang selesa apabila Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran Chabang Tiga Kuala Terengganu siap Ogos depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek ini mempunyai 1,002 unit rumah termasuk 12 unit dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).

 “Terdapat dua altenatif PPR yang sedang dalam pembinaan ini iaitu samaada dijual dengan harga RM35,000 seunit atau disewakan dengan kadar RM124 sebulan,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan ke Tapak Projek PPR Padang Hiliran, Chabagng Tiga, Kuala Terengganu hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perumahan Negara, Datuk Mohamad Yusoff Ghazali dan Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tn. Ar. Azman Md. Hashim.

Katanya, projek rumah pangsa 17 tingkat ini mempunyai tiga blok (A,B,C) dengan keluasan 700 kaki persegi serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dan terbuka kepada mereka yang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

Menurut Menteri Besar, di sini turut dilengkapi dengan sebuah surau dengan kapasiti 800 jemaah pada satu-satu masa, sebuah dewan serbaguna untuk 1,000 orang, 1127 unit tempat letak kereta dan 350 tempat letak motosikal.


“Ini merupakan projek pertama Kerajaan Pusat yang dilaksanakan di negeri ini di mana kerajaan negeri sendiri ada 26 projek perumahan yang sebahagian besarnya sudah siap , dalam pembinaan dan akan dilaksanakan,” katanya.

Katanya, sehingga ini 8,000 unit rumah mampu milik berjaya disiapkan dengan sasaran 10,000 unit dalam tempoh lima tahun bermula 2008.

“Kerajaan akan laksanakan janji kepada rakyat dan berharap menjelang 2015 keseluruhan rakyat di negeri ini mempunyai rumah sendiri yang selesa ,” katanya.