Halaman

21 January 2013

Program hospitaliti penuhi kebolehpasaran kerja bidang pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan Kursus Pelancongan dan Hospitaliti bagi menghasilkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja yang semakin tinggi di sektor itu pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dua pusat pengajian iaitu Kolej Universiti Tati (TATiUC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) akan memainkan peranan mewujudkan program yang dapat menepati kebolehpasaran kerja sebagaimana perkembangan semasa itu.

“Berdasarkan maklumat daripada kajian yang dibuat Jabatan Pembangunan Kemahiran, terdapat dua profesion yang mendapat permintaan tinggi ( pasaran kerja) pada masa kini, iaitu bidang pelancongan dan juga pembangunan, di mana pembangunan seperti kerja pembinaan. Maka, kita akan memberi fokus kepada dua bidang berkenaan

“Dari segi pelancongan, lebih-lebih lagi Terengganu menjadi hab pelancongan negara kita, maka kita akan mewujudkan peluang kepada pelajar mengikuti program yang dapat memenuhi permintaan ke arah itu,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan yang melibatkan tiga pihak, iaitu antara portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, portfolio Pelancongan, Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengadakan usahasama untuk melaksanakan kursus hospitaliti dalam masa terrdekat.

“Kita sedang berbincang untuk mengadakan kursus hospitaliti di Riyaz Heritage & Spa Resort, Pulau Duyung sekiranya termeterai perjanjian antara tiga pihak berkenaan.

“Kursus itu dijangka akan laksanakan dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan Terengganu sebagai hab pelancongan negara ini, sekali gus menyokong usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancong yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negeri ,” katanya.