Halaman

14 January 2013

RM1.3 juta baik pulih bangunan Dewan Undangan Negeri

Oleh; Esah Abdullah



Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sedang dibaik pulih, membabitkan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM1.3 juta.

Yang Dipertua DUN Terengganu Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata proses baik pulih yang bermula November lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.

“Baik pulih meliputi ukiran tembaga atau 'peleh' pada bahagian bumbung di mana sebelum ini bangunan berkenaan di baiki di bahagian dalam yang membabitkan peruntukan RM1.1 juta,” katanya.

Menurutnya, bangunan yang digunakan sejak tahun 1982 itu sudah dua kali melalui proses membaik pulih. Beliau berkata demikian pada majlis perkahwinan anak perempuannya Tengku Nur Hakimah, 23, dengan Mohamad Izuddin Ismail, 24, di kediamannya.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang diiringi Setiausaha Kerajaan Datuk Haji Mazlan Ngah.

Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri serta bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh.

Kira-kira 10,000 tetamu daripada pelbagai golongan hadir memeriahkan perkahwinan anak ketiga hasil perkongsian hidup dengan isteri To’ Puan Hajah Halijah Ali.

Tengku Nur Hakimah merupakan seorang peguam yang bertugas di Kuala Lumpur, manakala pasangannya Mohamad Izuddin, Pegawai Teknologi Maklumat (IT) yang juga anak bongsu kepada Pegawai Pembangunan Dun (PPD) Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.