Halaman

22 January 2013

RM5,000 bagi setiap PIBG sekolah DUN Kijal

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.



Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu memantapkan lagi sistem pembelajaran sekolah-sekolah di kawasan berkenaan, sekaligus menaikkan nama sekolah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Walaupun keputusan UPSR baru-baru ini, kita tidak dapat mengekalkan kedudukan kita nombor satu dalam negara, namun itu bukan satu alasan untuk kita semua terus mengalah, sebaliknya kita perlu menebus balik kekalahan kita,” katanya.

Beliau mengumumkan peruntukan tersebut sewaktu berucap di majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Dewan Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang, semalam.

Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu yang julung kali ke sekolah berkenaan yang baru siap, memang dialu-alukan warga sekolah berkenaan.

Seramai 1,630 pelajar diiringi ibu bapa dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang diagihkan sendiri oleh Menteri Besar.

Menteri Besar berharap semua pihak berusaha lebih gigih bagi membolehkan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam pada tahun ini, termasuk UPSR.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Haji Sulaiman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Kemaman, YB Senator Hajah Rohani Abdullah, Setiausaha Politik, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pengarah APMT, Roshali Taha.