Halaman

27 January 2013

Sedia RM11.8 untuk kecemerlangan pelajar

Dato' Ahmad Razif
Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM11.8 juta pada tahun ini bagi menggerakkan beberapa program khusus untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar anak negeri dalam peperiksaan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebagai permulaan peruntukan itu dimanfaatkan untuk pengendalian kelas-kelas tambahan atau tuisyen.

Katanya, peruntukan itu merupakan sebahagian langkah mencapai sasaran '20 10 5 2' dalam empat peperiksaan awam yang semakin hampir ke arah membudayakan kecemerlangan dalam pendidikan dan menjayakan

Program Terengganu Anjung Ilmu. Angka itu merupakan 'tagline' mencapai sasaran semua A dengan 20 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 10 peratus Penilaian Menengah Rendah (PMR), lima peratus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua peratus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sebagai permulaan, ia diperuntukkan untuk kelas-kelas tambahan atau tuisyen dan kita sudah minta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melaksanakannya mulai awal bulan ini," katanya kepada pemberita selepas hadir pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri komited memperkasakan beberapa buah sekolah elit, sekolah premier dan sekolah Imtiaz di Terengganu selain memberi pengiktirafan kepada guru serta pelajarnya yang cemerlang.

"Selaras sasaran meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar, dua sekolah elit, enam sekolah premier dan lima sekolah Imtiaz di negeri ini akan diperkasakan," ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, majlis perjumpaan dengan kira-kira 7,000 guru akan diadakan dalam masa terdekat sebagai bentuk motivasi dalam usaha mengekalkan kecemerlangan keputusan dalam peperiksaan.