Halaman

14 January 2013

Sifar pelajar lepasan SPM tidak ke pusat pengajian

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mensasarkan sifar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menempatkan diri di pusat pengajian tinggi menerusi program Titian Bestari bermula 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif kerajaan melaksanakan program yang masuk tahun ketiga itu untuk memastikan tiada pelajar negeri ini yang kurang cemerlang dalam akademik tercicir selepas tamat persekolahan.

“Kita mengenalpasti kira-kira 3,000 pelajar negeri ini tidak berapa cemerlang. Peratusan mereka tidak besar berbanding sekitar (kira-kira) 21,000 calon SPM setiap tahun di mana jumlah itu melibatkan hanya 14 peratus sahaja.

“Bagaimana untuk mengatasi masalah pelajar tercicir ini, kita wujudkan Program Titian Bestari yang melibatkan peruntukan menerusi Tabung Kemahiran Yayasan Terengganu (YT) berjumlah RM1 juta,” katanya di sidang akhbar di Majlis Hi-Tea Dato’ Ahmad Razif Bersama Media, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam. 

Dato’ Ahmad Razif berkata , pihak sekolah menerusi Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mengenalpasti pelajar berkenaan untuk mengikuti program selama tiga hari dua malam yang dilaksanakan di pusat pengajian dan institusi kemahiran seperti Kolej Universiti Tati (TATiUC), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan beberapa pusat kemahiran lain di seluruh Terengganu.

“Walaupun pada peringkat awal, program ini kurang mendapat sambutan, kerana pelajar menganggap apabila mereka menyertai program itu akan ada sikap membuli dan denda, tetapi pada tahun kedua (tahun lalu) sebanyak 100 peratus pelajar berminat menyertai program itu.

“Banyak sekolah sudah bertanya mengenai program itu dan kita akan meminta supaya program berkenaan diadakan lebih awal,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, program yang melibatkan lapan siri dilaksanakan di lapan pusat pengajian yang membabitkan 100 pelajar di setiap siri.

Katanya, pengalaman mengikuti pelbagai aktiviti dan kehidupan sebenar di pusat pengajian itu mencetus motivasi kepada pelajar dan memberi peluang untuk mereka memilih bidang serta karier yang mereka minati selepas SPM nanti.

“Malah, maklumbalas daripada sekolah yang kita terima, program itu juga menjadikan pelajar semakin bermotivasi tinggi serta mengurangkan masalah disiplin di kalangan mereka yang kurang cemerlang itu,” katanya.

Menurutnya, sebaik tamat persekolahan nanti, mereka akan ditawarkan mengikuti kursus yang diminati di mana-mana pusat pengajian terbabit selama tiga bulan secara percuma sebelum berpeluang meneruskan pengajian menerusi pembiayaan pinjaman YT sehingga tamat tempoh kursus berkenaan.