Halaman

26 January 2013

UKOM anjur Diskusi Bersama Penulis Buku “Kafirkah Aku”


Unit Komunikasi Negeri (UKOM) akan menganjurkan program Diskusi Bersama Dengan Cikgu Zainon atau C.N Al- Afgani yang merupakan penulis buku “Kafirkah Aku”, pada 29 Januari ini, (Selasa) di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.

Penulis buku yang mengulas mengenai Amanat Haji Hadi itu merupakan bekas orang kuat Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, tetapi kini amat menyesal dengan segala tindak-tanduknya dalam Pas.

Beliau yang kini telah kembali ke pangkal jalan akan mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam Pas, termasuk isu kafir mengkafir akibat amanat berkenaan.

Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, berkata pihaknya akan mengajurkan majlis tersebut dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Yayasan Islam Terengganu.

Persuruhjaya JHEAT, Dato’ Rozali Salleh akan menyampaikan ucaputama pada majlis itu manakala Haji Shamsuddin menjadi moderator diskusi yang bertajuk “Dilema dan ranjau perjuangan Islam di Malaysia.”.

Kira-kira 3,000 orang termasuk pendakwah di bawah Yayasan Islam Terengganu, Imam, bilal dan Ahli jawatankuasa Masjid seluruh negeri akan hadir di majlis tersebut.

UKOM turut menjemput orang ramai, khususnya mereka yang mencari kebenaran hadir pada majlis itu bagi mendapatkan penjelasan secara ‘first hand’ daripada Cikgu Zainon yang sebelum ini sanggup melakukan apa saja kerana terlalu taksub dengan Amanat Hadi.

Klimaks daripada tindakan membuat tuli mempercayai pemimpin Pas itu beliau sanggup berhenti sebagai guru semata-mata untuk membantu perjuangan Pas.