Halaman

13 January 2013

UMNO Besut arah bilik gerakan beroperasi


Idris keitka melawat peti undi Bandar Jertih malam tadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Tanda-tanda hadirnya pilihan raya semakin dirasai dan petugas parti sudah tidak sabar lagi untuk menabur bakti dan khidmat bagi mempastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa di negara ini.

Berikutan itu UMNO Bahagian Besut memulakan langkah awal semalam dengan mengarahkan semua bilik gerakan supaya beroperasi mulai semalam.

Ketua Umno Bahagian itu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, semua bilik gerakan boleh dibuka dan ketua cawangan serta pengerusi peti undi juga perlu mengadakan perjumpaan atau mesyuarat lebih kerap bermula sekarang.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, malam tadi memulakan lawatan rasmi ke bilik gerakan Peti Undi Bandar Jertih dan menemui semua petugas parti sambil menyampaikan kata-kata semangat.

Bagi menjamin kekuatan parti di bahagian itu beliau juga meminta ketua cawangan mendapatkan lima ahli Pas di kawasan masing-masing yang mirip Umno supaya menarik mereka menyertai parti Umno.

Katanya, ini kerana semakin ramai ahli Pas kini dalam keadaan serba salah untuk menyokong parti itu berikutan banyak isu dan percangahan pendapat di kalangan pemimpin mereka sejak akhir-akhir ini.

Idris berkata, selepas proses mengajak ahli parti itu diperolehi oleh dari semua cawangan pihaknya akan menganjurkan majlis Selamat Tinggal Pas (STP) secara besar-besaran.

“Kita yakin cawangan terbabit mampu menarik penyertaan ahli Pas menyertai Umno berdasarkan perkembangan semasa dalam parti pembangkang itu,” katanya.