Halaman

05 February 2013

80 ahli Pas keluar parti, sokong Umno

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 80 penyokong Pas dari Kampung Jerong Seberang dan Kampung Bukit Chempedak, Marang, keluar dari parti itu dan memohon untuk menyertai Umno kerana kecewa dengan tindakan pemimpin Pas yang gagal membela nasib penduduk di negeri ini.



Mereka menyerahkan borang keahlian Umno masing-masing kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada Majlis Selamat Tinggal Pas (STP) di kediaman Seri Iman, malam tadi.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, berkata perjuangan Pas kini semakin tidak relevan kerana sanggup bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi kepentingan politik mereka.

"Perjuangan Pas kini jauh terpesong dan bertentangan dengan maksud PAS iaitu ‘Parti Islam Semalaysia’ kerana mereka sanggup menggadaikan kesucian agama Islam untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Pas juga menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan undang-undang penjajah sedangkan kita juga belajar agama seperti mereka, justeru sekiranya mereka betul-betul memperjuangkan agama Islam tidak sepatutnya mereka menuduh sebegitu” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

 Beliau berkata, semakin banyak jasa Umno dan BN yang ditabur kepada rakyat semakin banyak tentangan daripada pihak pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan sifat sebenar mereka yang iri hati dengan kepimpinan kerajaan sekarang, justeru saya berharap penyokong Pas sedar akan hal ini dan lebih ramai yang akan menyertai Umno dan BN kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Umno Kampung Jerong Seberang, Encik Nasir Mamat berkata, tercetusnya program (STP) BN Di Hatiku adalah atas kesedaran bekas penyokong Pas di dua kampung terbabit untuk mengembalikan parlimen Marang ke tangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kecenderungan bekas-bekas penyokong Pas tersebut untuk menyokong Umno dan BN timbul apabila melihat kepimpinan Menteri Besar yang sentiasa mengutamakan rakyat,” katanya.