Halaman

17 February 2013

Bidang sains marin dalam kerangka akademik UMT

Oleh; Esah Abdullah

Usaha membangunkan lagi bidang Sains Marin dalam kerangka akademik dan penyelidikan dengan penglibatan universitii-universiti adalah wajar memandangkan keperluan yang tinggi serta prospek yang luas yang ada pada bidang ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, tidak dinafikan perkembangan terkini bidang sains dan teknologi di negara kita banyak menyentuh aspek Sains Marin.

“Pertumbuhan negara melalui eskplorasi petroleum dan gas sangat berkait rapat dalam bidang ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Sains Marin dan Ekosistem di Ri-Yaz Heritage Pulau Duyong hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Direktorak Osenografi Kebangsaan (NOD), Haji Shahruddin Yusof; Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof. Dr. Mohd Lokman Hussain dan Prof. Dr V.R. Vijayan dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta wakil-wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Katanya, bidang ini bukan saja keperluan negara tetapi pasaran kerjaya adalah tinggi permintaannya di seluruh dunia selain dari perubahan iklim dunia termasuk Tsunami banyak kaitannya dengan bidang Sains Marin.

Menurutnya, kepakaran dalam bidang ini khususnya untuk ramalam iklim dunia masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak dan keperluan semasa negara kita.

Katanya, INOS adalah antara institut penyelidikan marin oseanografi yang tertua dan mantap di mana penubuhannya adalah untuk menjadi pusat penyelidikan serantau yang terkemuka di negara ini.

“Kini INOS telah menjadi salah satu Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) yang ke tujuh di negara ini yang menfokuskan bidang sains marin dan oseanografi,” katanya.

Bengkel yang berlangsumg dua hari berakhir esok ini dihadiri 50 peserta tediri daripada penyelidik UIA, UKM, UNIMAP, UMT serta jabatan kerajaan dan agensi berkaitan sains marin bertujuan menonjolkan bidang kepakaran dan fasiliti sokongan Sains Marin yang terdapat di IPT di negara ini.