Halaman

01 February 2013

Epic sasar hab utama sedia jalur lebar

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) mensasarkan untuk menjadi hab utama menyediakan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSSB) di seluruh kawasan industri di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), Teluk Kalong, Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hameed berkata, perjanjian bagi menyediakan perkhidmatan itu yang termeterai antara Epic Properties dengan Peneraju Jalur Lebar Negara, TM bakal memberi manfaat kepada seluruh kakitangan dan penyewa di sekitar kawasan KSB berkenaan.

“Kerjasama ini akan meningkatkan lagi penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Terengganu serta memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian kita. Ini selari dengan inisiatif kerajaan untuk mempromosikan penerimaan dan keupayaan ICT di kalangan masyarakat serta meningkatkan tahap celik IT tanap mengira budaya, bangsa dan juga agama,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail berkata TM amat gembira dengan perkongsian pintar pertama dengan badan berasaskan industri di Terengganu bagi menyediakan perkhidmatan HSSB.

 “Kerjasama ini membolehkan TM menyediakan UniFi dengan kelajuan dari 5Mbps sehingga 20Mbps di KSB, sekali gus KSB muncul pelabuhan pertama di negara ini yang dilengkapi kemudahan itu.

“Perkhidmatan itu juga membolehkan syarikat di kawasan itu menikmati aplikasi lebar jalur tinggi ke arah membaiki penawaran perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Katanya, TM komited beraspirasi untuk menjadi rakan kongsi komunikasi, memperkasa dan penyelesaian pilihan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, selain menjadi penyedia penyelesaian perniagaan sehenti dengan pelbagai kemudahan untuk membantu perniagaan berkembang.

 KSB yang terletak dalam Zon Pembangunan Petroleum Kemaman dihuni lebih 250 syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada industry minyak dan gas termasuk anak-anak syarikat kepunyaan Epic Berhad , iaitu Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd, Epic Mushtari Engineering Sdn Bhd, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd serta Tubex Sdn Bhd.