Halaman

20 February 2013

Kenaikan BR1M bentuk remaja mampu berbakti

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 3.0 dan 4.0 untuk remaja yang mungkin dinaikkan daripada RM250 kepada RM500 jika Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum akan datang sewajarnya menjadi dana terbaik kepada anak muda serta membentuk mereka menjadi masyarakat yang mampu mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti untuk tanah air, kata Pengerusi Pemuda BN Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

“Cadangan untuk menaikkan BR1M itu sememangnya bagus dan memberi banyak manfaat kepada golongan muda. Bagaimanapun, biarlah bantuan khas daripada Kerajaan Pusat  berkenaan benar-benar mampu menjadi dana terbaik yang akhirnya memberi pulangan kepada remaja dan juga negara.

“Mereja bukan sekadar menerima wang tunai semata-mata, tetapi pengagihan itu perlu disertai dengan pengisian yang lebih efisyen serta menjurus kepada penekanan bagi membentuk golongan yang mampu menzahirkan setia dan sanggup mencurahkan khidmat bakti untuk negara tercinta,” katanya di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), baru-baru ini.

Encik Saiful berkata demikian sebagai mengulas cadangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhasrat menemui Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan untuk menaikkan BR1M kepada remaja daripada RM250 kepada RM500. 

Menurutnya, kesediaan pucuk pimpinan BN dan Umno menilai serta menimbang menaikkan kadar bantuan kepada golongan remaja membuktikan Kerajaan BN sentiasa prihatin dalam aspek kebajikan dan bersedia membantu rakyat yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

Katanya, golongan remaja yang menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan kerajaan itu seharusnya bijaksana dalam memilih parti yang benar-benar membela nasib mereka dan tidak sesekali cenderung untuk menyokong kumpulan yang cuba memporak-perandakan keamanan dan kestabilan yang sedang dikecapi rakyat masa kini.