Halaman

07 February 2013

Kerajaan BN berada di landasan betul

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah berada di landasan yang betul dan Perlembagaan Negara sebenarnya tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, negara kita mengamalkan sikap sederhana dalam semua hal.

“Apa yang kerajaan BN buat selama ini adalah betul dan selari dengan Islam,” katanya di majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit di kediaman beliau semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Balai Batu Rakit, Sarjan Mejar Haji Mat Zin; Penghulu Mukim Batu Rakit, Encik Khairul Anwar Hashim dan Pengerusi JKKK, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri dari 32 kampung dalam Dun Batu Rakit.

Beliau yang juga Adun Batu Rakit berkata, kita bertuah menjadi rakyat dalam negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang bijak dan berwawasan.

 “Saya minta semua ketua-ketua kampung main peranan untuk mengekalkan keharmonian yang ada dan pertahankan kerajaan BN demi masa depan anak cucu kita,” katanya.

Katanya, kita tidak perlu percaya dengan janji yang belum pasti kerana hari ini telah merasai nikmat kehidupan aman damai, saling berbaik dengan orang bukan Islam serta bebas mencari rezeki .

Dalam Majlis berkenaan 32 buah JKKK dalam Dun Batu Rakit menerima bantuan pentadbiran sebanyak RM5,000 setiap JKKK yang disampaikan sendiri oleh YB Haji Khazan.