Halaman

04 February 2013

Kerajaan negeri perkenal dana usahawan tani

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bakal memperkenalkan dana usahawan tani bagi membantu para usahawan di negeri ini dalam mengembangkan projek pertanian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Tuan Haji Asha’ari Idris berkata, pelaksanaan dana tersebut akan bermula tahun ini bertujuan membantu golongan usahawan tani yang menjalankan projek berskala besar.

"Usaha membantu petani tidak akan selesai hanya dengan pemberian bantuan kerana dalam melahirkan usahawan tani tidak cukup sekadar dengan pemberian subsidi sahaja.

"Oleh itu, kita akan sediakan tabung pinjaman untuk kemudahan semua petani supaya dapat jayakan projek berskala besar dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah dan Penghargaan kepada Peladang, Penternak dan Nelayan Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2012 dan Kursus Usahawan Peladang di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.

Katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu telah menerima peruntukan sebanyak RM920,000 bagi membantu 12 usahawan tani daripada kerajaan pusat.

Menurut beliau, sebagai tanda prihatin terhadap petani di negeri ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menampung peruntukan tersebut bagi menyediakan pinjaman kepada lebih ramai usahawan tani yang berminat menerusi dana usahawan tani.

"Setakat ini, belum ada jumlah peruntukan khusus bagi dana ini dan kita gunakan sumber-sumber dari peruntukan lain.

"Apabila satu peruntukan khas telah diluluskan mungkin peminjam dana usahawan tani tidak akan dikenakan faedah tetapi hanya dicaj kos perkhidmatan sahaja,” katanya.