Halaman

13 February 2013

Kereta kuda dan ATV Motor, mampu tingkat jumlah pelancong

Oleh: Suriati Ali 

 Pendekatan beberapa pemilik kereta kuda berhias dan ATV Motor memperkenalkan produk masing-masing di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke lokasi tersohor itu.

 Hampir setiap hari terutama cuti sekolah dan cuti hujung minggu, mereka setia menunggu pelancong yang ingin mendapat perkhidmatan yang disediakan.

 
Kereta kuda berhias yang mengenakan harga tambang RM5 untuk dewasa dan RM3 (kanak-kanak) setia menunggu pelanggan 

Pemilik Kereta Kuda Berhias, Puan Rohani Yusof, berkata dia bersama suami berusaha memperkenalkan kereta kuda berhias kerana ingin menambah kelainan selain bertujuan membantu kerajaan negeri menaikkan imej Pantai Batu Burok.

Katanya, permintaan pengunjung terhadap perkhidmatan itu sangat menggalakkan sehingga kadang-kala tidak mencukupi walaupun lebih 10 kereta kuda disediakan pelbagai pemilik.

 “Kadar harga yang dikenakan kepada pengunjung dewasa sebanyak RM5 dan kanak-kanak RM3 adalah berpatutan.

 “Kebanyakan pelancong luar Terengganu lebih gemar mendapatkan perkhidamatan kereta kuda berhias ini berbanding pelancong tempatan,” katanya ketika ditemui Teganukita.

 Katanya, mereka tertarik mungkin disebabkan sukar atau tiada perkhidmatan seumpama ini ditawarkan di tempat lain melainkan beca berhias.

 Pengerusi Kelab ATV Motor Kuala Terengganu (KMKT), Encik Tarmizi Shafie,38, berkata KMKT mula memperkenalkan aktiviti ATV Motor kepada pengunjung Pantai Batu Burok lima bulan lalu selepas mengetahui orang ramai turut berminat mengenai hobi lasak ahli kelab itu.

 Katanya, pada awalnya, dia bersama beberapa hanya sekadar ingin mencuba dengan membeli kenderaan itu sebanyak tiga buah. “Aktiviti itu semakin mendapat sambutan pengunjung terutama pelancong luar Terengganu selepas beberapa bulan diperkenalkan dan bilangannya terpaksa ditambah secara berperingkat-peringkat. “Sehingga kini, KMKT mempunyai 15 buah ATV Motor dengan mengenakan kadar bayaran sewa sebanyak RM15 bagi tempoh 15 minit,” katanya.